Ticker

6/recent/ticker-posts

Program Ukhuwah Al-Mukhlisin, 4 September 2025

 

4 September 2025 — Surau Al-Mukhlisin telah menganjurkan Program Ukhuwah yang dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah. Program diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Ustaz Zainuddin.

Beliau turut menyampaikan tazkirah ringkas dengan tadabur Surah Yasin ayat 13. Seterusnya, para jemaah menunaikan solat Isyak secara berjemaah sebelum menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak surau.

Selepas jamuan, mesyuarat Surau Al-Mukhlisin diadakan dan dipengerusikan oleh Pengerusi Surau, En. Zulkifli Ismail. Antara agenda yang dibincangkan ialah cadangan pembinaan ruang wuduk serta tandas wanita, selain cadangan membawa program Jualan Rahmah KPDNKK ke Surau Al-Mukhlisin untuk manfaat ahli kariah.

Tadabur Surah Yasin Ayat ke-13

"Sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan serta segala kesan yang mereka tinggalkan. Dan tiap-tiap sesuatu Kami kumpulkan dalam kitab yang jelas nyata."

Ayat ini membawa tiga pengajaran. Pertama, ia menceritakan bagaimana Allah menjadikan manusia dimatikan, dihidupkan dan dimatikan semula. Kedua, Allah menerangkan bahawa segala perbuatan manusia, sama ada baik atau buruk, termasuk kesan daripada perkataan dan perbuatan, semuanya dicatat. Ketiga, setiap amal perbuatan manusia akan direkodkan satu persatu tanpa ada yang tertinggal.

Segala catatan ini terkandung dalam ibu suratan, iaitu kitab amalan manusia. Ayat ini memberi maksud bahawa asalnya manusia dihidupkan oleh Allah SWT, diberi nyawa yang hanya dipinjamkan. Sampai masanya, nyawa itu akan diambil kembali. Namun, pemergian manusia tidak sama dengan kematian seekor haiwan atau seorang kafir. Seekor haiwan, seperti ular, apabila mati tidak menanggung sebarang tanggungjawab kerana ia bukan makhluk mukallaf. Tetapi apabila manusia mati, ia meninggalkan kesan sepanjang hidupnya.

Sepanjang kehidupan, segala amal perbuatan manusia dicatat oleh Allah SWT. Apa sahaja yang dilakukan, walaupun sedikit, tidak akan terlepas daripada catatan malaikat. Mereka tidak pernah lalai dalam tugasnya. Segala yang dilakukan akan direkodkan dalam kitab amalan, sama ada ketika terlupa, disengajakan, atau dilakukan dengan lalai.

Ada kalanya manusia hidup seolah-olah tiada kehidupan selepas mati, melakukan sesuatu perkara seakan-akan tidak memberi kesan. Ada juga yang berkata, “Tidak mengapa, buat dahulu, nanti bertaubat.” Perbuatan sebegini sebenarnya termasuk dalam perkara yang disebut dalam hadis Nabi SAW, iaitu mempermainkan agama. Ucapan “buat dahulu, nanti istiqamah” adalah satu bentuk penghinaan terhadap hukum Allah SWT.

Dalam kehidupan ini, setiap kata dan perbuatan akan dihisab oleh Allah SWT pada waktunya. Walaupun manusia masih hidup, setiap amal tetap dicatat. Namun, Allah SWT sentiasa memberi peluang untuk kembali dan istiqamah, kerana Dia Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat. Jika dosa dilakukan terhadap Allah SWT, mohonlah keampunan daripada-Nya. Jika dosa itu melibatkan sesama manusia, wajiblah memohon kemaafan daripada manusia tersebut.

Hidup ini hanyalah sementara. Segala yang dimiliki, sama ada rumah besar atau kereta mewah, akhirnya akan ditinggalkan. Tidak ada apa-apa yang dibawa. Segala perkataan dan perbuatan akan dicatat dan dihisab. Catatan itu bukan sekadar rekod, bahkan akan dikira dalam kitab amalan. Barang siapa menerima kitab amalan dengan tangan kanan, berbahagialah dia. Sebaliknya, barang siapa menerima dengan tangan kiri, maka azab pedih menantinya.

Azab dunia pun sudah tidak tertanggung, apatah lagi azab akhirat yang berlipat kali ganda kesengsaraannya. Oleh itu, dalam kehidupan ini manusia perlu sentiasa berhati-hati. Zaman sekarang penuh dengan cabaran dan godaan. Terlalu mudah melakukan perkara yang tidak baik, bahkan perkara buruk dapat diakses dengan begitu cepat. Namun, semuanya tetap dicatat dengan jelas dan nyata. Tidak ada satu pun yang terlepas. Malaikat yang bertugas di kiri dan kanan tidak pernah tidur walau sesaat.

Maka, berlumba-lumbalah melakukan kebaikan dan amal jariah. Selagi masih ada kesempatan, manfaatkanlah ia untuk kebaikan. Tiada siapa tahu bila ajal akan tiba. Secara logiknya, yang tua semakin hampir, tetapi yang muda juga tidak pasti. Kadang-kadang, yang muda meninggal terlebih dahulu. Oleh itu, kesempatan ini perlu digunakan untuk menggandakan amal ibadah.

Beramallah seolah-olah akan mati esok hari. Lakukanlah kebaikan seakan-akan kematian akan datang esok. Dalam masa yang sama, bekerjalah seolah-olah akan hidup sepanjang hayat. Maka, ambillah pengajaran daripada ayat ini sebagai makanan rohani. Manusia bukan sahaja memerlukan makanan fizikal, tetapi juga makanan rohani berupa peringatan dalam kehidupan.

Peringatan ini bertujuan supaya manusia melaksanakan amal kebaikan dan meninggalkan perkataan serta perbuatan yang buruk di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan amal jariah yang dilakukan sepanjang hidup akan ditulis dalam kitab amalan sebagai amal yang ikhlas kerana Allah SWT. Segala tanggungjawab yang ditunaikan akan diberi ganjaran pahala kelak, insya-Allah.

Inilah peringatan agar sentiasa saling mengingati dalam kehidupan. Insya-Allah.