Ticker

6/recent/ticker-posts

Jemaah Setia Surau Al-Mukhlisin, Pak Yusof Talib Meninggal Dunia

2 Jun 2026 – Komuniti Taman Temerloh Jaya Indah (TJ Indah) menerima khabar duka apabila seorang jemaah setia Surau Al-Mukhlisin, Yusof bin Talib, atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Yusof, telah kembali ke rahmatullah pada hari ini pada usia 76 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh selepas keadaan kesihatannya semakin merosot sejak kebelakangan ini akibat faktor usia. Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

Segala urusan pengurusan jenazah, termasuk mandi dan solat jenazah, telah dilaksanakan di Masjid Temerloh Jaya. Solat jenazah telah diimamkan oleh Ustaz Zainuddin Mustafa sebelum Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Temerloh untuk dikebumikan.

Allahyarham dikenali sebagai seorang yang banyak berjasa dalam usaha mengimarahkan surau dan aktiviti kemasyarakatan di Taman TJ Indah. Beliau merupakan antara jemaah yang sangat rajin hadir ke surau setiap waktu, sentiasa mengambil inisiatif membersihkan kawasan surau, serta tidak pernah melepaskan peluang untuk terlibat dalam pelbagai program anjuran Surau Al-Mukhlisin dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) TJ Indah.

Sifatnya yang ramah, ringan tulang dan sentiasa membantu menjadikan Allahyarham seorang insan yang amat dihormati serta disenangi oleh seluruh jemaah dan penduduk TJ Indah.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh ahli komuniti. Jasa, pengorbanan dan komitmennya dalam memakmurkan surau akan sentiasa dikenang oleh semua yang pernah mengenalinya.

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-hamba yang soleh. Al-Fatihah. 

PAK YUSOF DALAM KENANGAN