Ticker

6/recent/ticker-posts

Apakah Mediator Komuniti?

 


Mediator Komuniti di bawah Kementerian memberi tumpuan kepada mengurus kes-kes pertikaian di peringkat komuniti khususnya dalam hal-hal yang melibatkan jiran tetangga.

Perkhidmatan Mediasi menjadi pilihan kepada pihak-pihak yang bertelagah kerana pertikaian dapat diselesaikan tanpa melibatkan perundangan (mahkamah/peguam), lebih mudah, cepat, jimat dan dilaksanakan dalam suasana yang lebih harmoni.

Sejarah Mediator Komuniti

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah menjalinkan beberapa kerjasama dan inisiatif untuk meningkatkan kemahiran mediator komuniti. Pada tahun 2007, program diperkenalkan dengan tujuan melatih Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga (AJK RT) menjadi Mediator Komuniti. 

Pada tahun 2009, latihan secara rasmi dimulakan untuk melatih pegawai-pegawai perpaduan dalam Kursus Mediasi Komuniti. Kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) diadakan pada tahun 2012, melibatkan dua batch pegawai perpaduan.

Pada 22 Jun 2012, Akta Rukun Tetangga yang baharu telah diwartakan, menggantikan Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975. Akta ini bertujuan memperkukuh peranan dan fungsi Jawatankuasa Rukun Tetangga. 

Kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2014 melibatkan penganjuran Kursus Pensijilan Mediasi Agama yang kemudian ditukar kepada Mediasi Sosial mulai tahun 2021. Akhir sekali, pada tahun 2018, latihan mediator turut melibatkan klinikal psikologi oleh pakar seperti Dato' Dr. Wan Halim Othman.