Ticker

6/recent/ticker-posts

Kuliah Mingguan: Dr. Abdullah Ismail 28 Oktober 2025

Lazy Image 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, kita sekali lagi berkesempatan untuk berada di rumah Allah bagi menunaikan solat fardu. Solat merupakan tiang agama dan digambarkan sebagai anak kunci syurga. Persoalannya, mengapa solat diberi kedudukan sedemikian rupa? Sebanyak mana pun amalan kebajikan yang kita lakukan, andai kata amalan solat kita tidak sempurna atau langsung terbengkalai, maka seluruh amalan kebaikan yang lain tidak akan bermakna di sisi Allah pada hari perhitungan kelak. Sebaliknya, andai kata amalan solat kita sempurna, ia akan menggerakkan Allah S.W.T untuk menghitung dan menerima amalan-amalan baik kita yang lain.

Oleh itu, bagi menampung sebarang kekurangan dalam solat, kita digalakkan untuk menunaikannya secara berjemaah. Kekuatan dan fadilat solat berjemaah dapat menampung kelemahan dan kekurangan solat kita yang dilakukan bersendirian. Inilah kelebihan yang ditawarkan melalui solat berjemaah. Justeru, demi mencapai kesempurnaan dalam ibadah solat, kita dituntut untuk melaksanakannya secara berjemaah dan tidak sekadar memadai dengan menunaikannya bersendirian.

Setiap kali kita terlepas solat berjemaah, kita seharusnya merasa kesal kerana di akhirat kelak, setiap detik dan setiap amalan akan dihitung dengan teliti.

Di samping isu solat, kita juga perlu mengambil berat tentang fenomena sosial yang membimbangkan dalam kalangan remaja dan anak-anak sekolah pada masa ini. Beberapa bulan yang lalu, media massa banyak melaporkan kes salah laku dalam kalangan pelajar, seperti kegiatan buli atau ‘ragging’ yang keterlaluan. Berbeza dengan zaman dahulu di mana kesalahan yang dilakukan mungkin hanya bersifat ringan seperti disuruh meniup kipas atau menyanyi, gejala pada hari ini sudah sampai ke tahap yang membimbangkan, termasuklah pergaduhan, kekerasan fizikal yang melampau, malah ada kes yang melibatkan rogol dan pembunuhan. Perbuatan-perbuatan keji ini seolah-olah sudah menjadi kebiasaan dan dilakukan tanpa sebarang perasaan bersalah.

Dalam menangani masalah ini, kita tidak boleh hanya menyalahkan pihak lain seperti Menteri Pendidikan atau institusi sekolah semata-mata. Tanggungjawab mendidik anak-anak terletak di bahu ibu bapa. Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci). Maka, ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 1358)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk keperibadian dan akhlak anak-anak. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang aktif dalam pendidikan anak-anak, termasuklah dalam mengajar mereka menunaikan solat. Sabda Baginda S.A.W:

Maksudnya: “Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika enggan) ketika berumur sepuluh tahun.” (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 495)

Arahan Nabi S.A.W ini menunjukkan sistem tarbiah yang berperingkat dan bermula dari rumah. Ibu bapa tidak boleh meletakkan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada pihak sekolah atau ustaz semata-mata. Sebagai contoh, jika seorang anak kecil yang berumur empat atau lima tahun sudah konsisten hadir ke masjid untuk solat, pastinya didikan dan dorongan itu datang daripada ibu bapanya. Inilah hasil didikan yang bermula dari peringkat awal.

Cabaran yang dihadapi oleh anak-anak pada zaman ini jauh berbeza dan lebih berat berbanding zaman dahulu. Anak-anak hari ini terdedah kepada pelbagai pengaruh negatif seperti tontonan video lucah yang boleh diakses melalui telefon bimbit. Pendedahan ini boleh mendorong mereka untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Justeru, ibu bapa perlu lebih peka dan prihatin dalam memantau aktiviti dan pergaulan anak-anak.


PESANAN LUQMAN AL-HAKIM DALAM PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Bagi menghadapi cabaran ini, kita boleh mengambil iktibar daripada kisah Luqman al-Hakim yang dirakamkan dalam al-Quran, surah Luqman. Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Luqman akan hikmah (kebijaksanaan).” (Surah Luqman, 31:12)

Hikmah inilah yang menjadi asas kepada kejayaan Luqman dalam mendidik anaknya. Ibu bapa perlu berusaha untuk memiliki hikmah, iaitu kebijaksanaan dan ilmu yang mendalam dalam mendidik anak, bukan hanya bergantung kepada kedudukan atau harta benda.


1. Pesanan Pertama: Jangan Mensyirikkan Allah

Pesanan pertama Luqman al-Hakim kepada anaknya ialah: Jangan Mensyirikkan Allah

Maksudnya: "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman, 31:13)

Pesanan ini mengajar anak untuk meletakkan Allah di tempat pertama. Syirik bukanlah sekadar menyembah berhala, tetapi dalam konteks moden, ia juga bermaksud meletakkan kepentingan dunia mengatasi perintah Allah. Sebagai contoh, apabila azan berkumandang, kita sepatutnya segera menuju ke masjid. Namun, ramai yang lebih mengutamakan urusan dunia seperti mencuci kereta atau masih bermain/ Perbuatan inilah yang dikhuatiri termasuk dalam syirik kecil.

Oleh itu, sejak kecil lagi, anak-anak perlu dididik untuk mengutamakan Allah dalam setiap tindakan. Misalnya, jika anak asyik bermain game, ajarlah mereka untuk berhenti dan menunaikan solat berjemaah. Didikan sebegini akan membentuk generasi yang mengutamakan Allah seperti para sahabat Nabi dan ulama silam.


2. Pesanan Kedua: Berbuat Baik kepada Ibu Bapa

Pesanan kedua Luqman ialah: Berbuat Baik kepada Ibu Bapa.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya." (Surah Luqman, 31:14)

Anak-anak perlu dididik untuk menghormati dan menyayangi ibu bapa. Dalam era moden, anak-anak terdedah kepada pengaruh media yang menunjukkan tingkah laku kurang sopan terhadap ibu bapa. Justeru, ibu bapa perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak dan menunjukkan kasih sayang. Hubungan yang rapat akan memudahkan proses mendidik anak untuk berbuat baik.

Terdapat kisah seorang lelaki pada zaman Nabi, (Uwais Al-Qarny) yang sangat ingin berjumpa Nabi S.A.W, tetapi dia tidak sanggup meninggalkan ibunya yang uzur. Pengorbanannya dihargai oleh Allah, dan ketika dia meninggal dunia, malaikat turun untuk memandikan jenazahnya. Ini membuktikan betapa tingginya martabat orang yang berbuat baik kepada ibu bapa.

Dalam dunia moden, ibu bapa sering sibuk bekerja. Namun, hubungan kasih sayang perlu dipupuk. Ibu bapa boleh membawa anak-anak ke masjid atau meluangkan masa bersamanya, seperti berbasikal atau beriadah. Aktiviti sebegini akan mengukuhkan ikatan kekeluargaan.


3. Pesanan Ketiga: Allah Maha Mengetahui Segala Perbuatan

Pesanan ketiga Luqman terkandung dalam Surah Luqman, ayat 16:

Maksudnya: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang jahat) seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu atau di langit atau di bumi, sudah tentu Allah akan mendatangkannya (membalasnya)."

Pesanan ini mengajar anak-anak bahawa Allah sentiasa memerhati dan mengetahui segala perbuatan, sama ada baik atau jahat, sekecil mana pun. Sebagai contoh, jangan membuang sampah merata-rata atau mengotorkan bilik air kerana perbuatan itu diperhatikan oleh Allah. Orang yang mengambil rasuah berbuat demikian kerana mereka yakin tiada yang melihat, tetapi sebenarnya Allah Maha Mengetahui.

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang kepentingan melakukan kebaikan sekecil mana pun. Misalnya, beri sedekah kepada pengemis atau beli nasi lemak daripada penjaja kecil. Perbuatan baik yang ikhlas kerana Allah akan diberi balasan, seperti kisah seorang wanita jahat yang diampunkan Allah kerana memberi minum kepada anjing yang hampir mati.

"Seorang wanita pelacur (atau pezina) telah diampuni (dosa-dosanya). Dia melewati seekor anjing yang menjulurkan lidahnya di pinggir sumur, hampir mati kehausan. (Melihat keadaan itu), si wanita tersebut melepas sepatunya (atau khufnya), lalu mengikatnya dengan penutup kepalanya (atau kainnya) dan menimba air dari sumur untuk anjing itu. Dengan sebab perbuatannya itu, dia mendapatkan ampunan dari Allah"— HR. Bukhari no.3321

Kesimpulannya, sebagai umat Islam, kita perlu komited dalam menunaikan solat, terutamanya secara berjemaah, dan pada masa yang sama memikul tanggungjawab untuk mendidik anak-anak dengan sempurna berlandaskan ajaran Islam. Tiga pesanan utama Luqman al-Hakim - mengutamakan Allah, berbuat baik kepada ibu bapa, dan sentiasa sedar bahawa Allah Maha Mengetahui segala perbuatan - perlu menjadi panduan dalam pendidikan anak-anak.

Dengan mengambil pengajaran daripada sunnah Nabi S.A.W dan kisah Luqman al-Hakim, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan generasi yang soleh dan bertakwa. Didikan yang bermula dari rumah, disertai dengan kasih sayang dan kebijaksanaan, akan membentuk peribadi muslim yang sejati. Insya-Allah, dengan izin-Nya, kita akan berjaya menghadapi cabaran zaman dan mendidik generasi yang cintakan Allah dan Rasul.