4 Februari 2025 — Kuliah mingguan Dr. Haji Abdullah bin Ismail, Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, pada malam ini diadakan seperti biasa selepas solat Maghrib, di Surau Al-Mukhlisin, Taman Temerloh Jaya Indah.
INTIPATI KULIAH
Syukur kepada Allah kerana kita masih diberi kesempatan untuk hadir ke masjid pada malam ini, walaupun dalam keadaan hujan. Sebagaimana kita jarang meninggalkan tempat kerja hanya kerana hujan, kita juga seharusnya berusaha untuk tetap menghadirkan diri ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah.
Dalam apa jua keadaan, sama ada hujan atau panas, kita perlu berusaha untuk terus beribadah dan memakmurkan rumah Allah. Namun, jika kita perhatikan keadaan hari ini, hanya dengan sedikit hujan, ramai yang memilih untuk tidak hadir ke masjid. Mungkin ada yang menganggap hujan sebagai satu kesukaran atau musibah, sedangkan hakikatnya hujan adalah rahmat daripada Allah.
Semoga kehadiran kita ke masjid walaupun dalam keadaan hujan akan menjadi saksi di hadapan Allah kelak dan melayakkan kita untuk memasuki syurga-Nya.
Ibrah Kematian
Pada tahun 2023, Badan Khairat Kematian (BKK) Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah menguruskan sebanyak 76 kematian. Bagi tahun 2024, jumlah kematian yang diuruskan ialah sebanyak 95 kes, menunjukkan peningkatan sebanyak 21 kes dalam tempoh setahun. Sehingga hari ini, 4 Februari, sebanyak 12 kematian telah diuruskan oleh BKK.
Angka kematian yang semakin meningkat ini memberi peringatan kepada kita semua untuk sentiasa bersedia menghadapi kematian. Janganlah kita lalai atau leka, sebaliknya manfaatkan setiap ruang dan peluang yang ada untuk melakukan amal kebaikan sebelum tiba saat kita kembali kepada-Nya.
Sebagai perbandingan, seseorang yang mencapai usia mumayiz pada umur 15 tahun dan dijemput Allah pada usia 65 tahun telah hidup selama 50 tahun. Dalam tempoh tersebut, terdapat implikasi besar kerana dengan usia 50 tahun, kita mempunyai dua pilihan:
Maka, adalah sangat berbaloi untuk menggunakan usia yang ada dengan melakukan kebaikan kerana nikmat di syurga itu kekal selamanya.
Orang-orang yang menjadi ahli masjid atau surau amat beruntung kerana mereka sentiasa menerima peringatan dan teguran melalui ceramah-ceramah agama. Moga-moga mereka tergolong dalam golongan kanan yang akan dimasukkan ke dalam syurga Allah kelak.
Motivasi dari Allah kepada Golongan Kanan
"(Sebahagian) besar daripada golongan terdahulu dan sebilangan kecil daripada golongan yang kemudian."— Al-Waqiah 10-14
Walaupun kita tergolong dalam kelompok "sebilangan kecil", kita tetap berpeluang untuk berada dalam golongan yang beriman dan diredai Allah. Pada hari ini, hanya segelintir yang tidak meninggalkan solat lima waktu, dan hanya sebilangan kecil yang menutup aurat dengan sempurna. Maka, kita harus berdoa agar Allah menjadikan kita sebahagian daripada mereka.
Sebagai ganjaran buat golongan kanan ini, Allah berfirman:
"(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata, sambil berteleku berhadap-hadapan. Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka. Dengan membawa piala-piala minuman dan teko- teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya. Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.
Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; mereka hanya mendengar ucapan: 'Selamat! Selamat!' (dari satu kepada yang lain)." — Al-Waqi'ah 56:15-26
Surah Al-Waqi’ah merupakan antara surah yang menyebabkan rambut Nabi Muhammad SAW beruban. Saidina Abu Bakar pernah bertanya tentang uban baginda, lalu Rasulullah SAW menjawab bahawa antara penyebabnya ialah kerana baginda membaca Surah Al-Waqi’ah. (HR. Tirmidzi no. 3297)
Sebagai peringatan, selagi kita diberi nikmat penglihatan dan kebolehan membaca, kita seharusnya memperuntukkan atau melaburkan sedikit masa untuk agama. Antara amalan yang boleh dilakukan pada bulan Syaaban ini ialah:
"Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda lebih banyak berpuasa sunat daripada bulan Syaaban." — HR Bukhari no. 1969 & Muslim no. 1156
Puasa sunat pada bulan Syaaban merupakan sunnah. Oleh itu, kita wajar mencontohi Nabi SAW dengan memperbanyakkan puasa sunat di bulan ini, lebih banyak berbanding Syaaban tahun sebelumnya. Lebih baik lagi, ajaklah ahli keluarga untuk turut serta berpuasa bersama.
Perbaiki solat dengan menunaikannya secara berjemaah. Jika tidak dapat berjemaah di masjid, maka usahakanlah solat jemaah di tempat kerja atau sebagainya, supaya ia kekal konsisten ketika tiba bulan Ramadan nanti.
Kelebihan Solat Berjemaah
Sebagai perbandingan, jika kerajaan mengumumkan bonus beberapa bulan, pasti ramai yang berasa gembira. Namun, ramai yang tidak sedar bahawa solat berjemaah memberikan 27 kali ganda ganjaran.
Rasulullah ï·º bersabda:
"Solat berjemaah lebih utama daripada solat sendirian dengan kelebihan 27 darjat."— HR. Bukhari, no. 645 & Muslim, no. 650
Allah ingin memudahkan hamba-Nya masuk syurga.
- Sehari, kita solat 5 waktu, jika dilakukan berjemaah, seolah-olah mendapat 135 waktu solat (5 waktu × 27 ganjaran).
- Dalam sebulan (30 hari), ia bersamaan dengan 4,050 waktu solat, yang menyamai 810 hari solat secara individu.
- Jika dilakukan secara konsisten selama 5 tahun, seolah-olah kita telah solat selama 135 tahun.
Inilah tanda rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, serta peluang besar untuk masuk syurga.