Ticker

6/recent/ticker-posts

Kuliah Bulanan: Ustaz Mohd Firdaus Januari 2025

1 Januari 2025 — Kuliah Bulanan Ustaz Firdaus Azmy telah diadakan pada malam ini di Surau Al-Mukhlisin, Taman Temerloh Jaya Indah. Turut hadir sebagai tetamu istimewa ialah Al-Fadhil Ustaz Haji Roslan Jaafar.

Selepas solat Isyak, para jemaah dijamu dengan hidangan istimewa iaitu kari kambing yang disediakan oleh Geng Rebus Tak Empuk, Surau Al-Mukhlisin.

Ringkasan Kuliah

Nabi Muhammad SAW bersabda mengenai lima perkara yang perlu kita ingat sebelum datangnya lima perkara; 

"Ingatlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain: muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, dan hidup sebelum mati." —HR. Baihaqi no.3319, Hakim no. 7846

Perkara ini amat penting untuk difahami kerana ia berkait rapat dengan cara kita memanfaatkan masa yang telah Allah berikan kepada kita. Masa bergerak begitu pantas. Sebagai contoh, seseorang yang berusia 33 tahun pada tahun lepas kini sudah berumur 34 tahun. Begitu juga dengan mereka yang berusia 70 tahun pada tahun lepas, kini sudah memasuki usia 71 tahun. Setiap tahun, usia kita meningkat, tetapi persoalannya, adakah kita memanfaatkan masa yang telah berlalu itu dengan baik?

Nabi Muhammad SAW juga pernah menyebut bahawa antara tanda-tanda kiamat adalah apabila manusia merasakan masa berlalu dengan sangat cepat. Dalam sabdanya, baginda menjelaskan:

"Tidak akan berlaku Kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu sambaran api." —HR. Tirmidzi no. 2332

Fenomena ini jelas kita rasakan hari ini, di mana masa berlalu begitu pantas sehingga kita seringkali tidak sedar berapa banyak yang telah kita sia-siakan. 


Dalam Surah Al-Asr, Allah SWT mengingatkan manusia tentang pentingnya masa;

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, serta saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran." — Surah Al-Asr, 103:1-3

Ulama membahagikan masa kepada tiga, iaitu masa lepas, masa sekarang, dan masa akan datang. 

Masa lepas adalah sesuatu yang telah berlalu dan tidak mungkin dapat kita ulang semula. Sebagai contoh, jika semalam kita terlepas berjemaah lima waktu, kita tidak boleh kembali ke semalam untuk menggantikannya. Apa yang kita boleh lakukan hanyalah menyesali perbuatan tersebut dan berusaha untuk tidak mengulanginya.

Masa sekarang pula adalah masa yang sedang kita lalui. Ia adalah peluang yang Allah berikan untuk kita melakukan kebaikan. Apa yang kita lakukan sekarang akan menentukan nasib kita pada masa akan datang. 

Masa akan datang pula adalah sesuatu yang tidak pasti. Kita tidak tahu adakah kita akan sempat melihat jamuan yang akan dihidangkan sebentar lagi atau pun tidak, kerana nyawa adalah rahsia Allah SWT.


Hisab Ibadah

Dalam kehidupan, muhasabah atau menilai diri adalah langkah penting untuk memastikan perjalanan hidup kita sentiasa berada di landasan yang betul. Bertahun berlalu, dan pelbagai perubahan telah berlaku dalam hidup kita. Namun, adakah perubahan tersebut membawa kita lebih dekat kepada Allah atau sebaliknya? Dalam usaha memperbaiki diri, kita perlu sentiasa menghisab amalan dan perbuatan kita. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT;

"Dan ingatlah, Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk menimbang amal makhluk-makhluk pada hari kiamat. Maka, tidak ada diri sesiapa pun yang akan dianiaya sedikit pun. Dan jika amal itu seberat biji sawi sekalipun, Kami akan mendatangkannya untuk ditimbang dan dihitung. Cukuplah Kami sebagai penghitung."  — Al-Anbiya 21:47

Ayat ini mengingatkan kita tentang kepastian hisab di hari kiamat. Segala amal manusia, sekecil biji sawi sekalipun, akan dihitung dengan teliti oleh Allah. Tiada apa pun yang terlepas daripada penilaian-Nya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menilai diri sendiri sebelum dihitung oleh Allah SWT.

 Antara amalan utama yang perlu kita muhasabah ialah solat. Dalam setahun, terdapat 1,825 waktu solat fardhu yang wajib dilaksanakan. Namun, persoalannya, adakah kita benar-benar menunaikannya dengan sempurna. Maka jika belum sempurna maka jangan diulangi kesilapan yang lalu, kerana usia kita makin meningkat, bukan menurun. Ironinya, setiap tahun gaji kita meningkat, begitu juga dengan harta dan aset yang kita kumpul, namun pada masa yang sama, ibadah kita semakin menurun dan itu bukanlah perkara yang baik untuk kita. Selain solat, amalan membaca al-Quran juga sering terabai. Bulan Ramadan, yang sepatutnya menjadi bulan memperbanyakkan ibadah, kadangkala berlalu begitu sahaja tanpa kita sempat mengkhatamkan al-Quran. Sedangkan ulama besar seperti Imam Syafi’i (yang dibangga-banggakan oleh kita) mampu khatam dua kali sehari di bulan Ramadan. Kita pula sering memberi alasan kekangan masa, walhal untuk urusan dunia, kita sanggup berusaha sedaya upaya mencari jalan.

Dalam Surah Al-Insyiqaq, Allah berfirman; 

"Maka dia akan diperhitungkan dengan perhitungan yang mudah." — Al-Insyiqaq 84:8

Maka Nabi Muhammad menganjurkan satu doa kepada umatnya, yang berbunyi: "Allahumma hasibani hisaban yasiro." yang bermaksud: 

"Ya Allah hisablah aku dengan hisab yang mudah." — HR. Ahmad no.23082

Nabi Muhammad SAW sendiri bimbang tentang dihisab oleh Allah, sedangkan beliau adalah seorang Nabi yang sudah dijamin syurganya.  Ini menunjukkan betapa kita yang belum dijamin syurga sepatutnya lebih bimbang tentang perhitungan yang akan dilakukan terhadap amalan kita di akhirat kelak.


Hisab Pekerjaan

Seterusnya, kita perlu menilai amalan kita dalam aspek pekerjaan, contohnya kejujuran kita dalam menguruksan hal claim atau tuntutan kepada syarikat. Adakah kita membuat tuntutan dengan jujur dari segi jumlah dan sebagainya?. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam setiap transaksi dan sentiasa berusaha untuk melakukan secara jujur dan amanah. 

Dalam hal ini, kita juga perlu menyedari bahawa segala perbuatan kita, baik dalam pekerjaan atau kehidupan sehari-hari, akan dihisab oleh Allah. 

 Allah berfirman;

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan."  — At-Tahrim 66:6

Allah Ta'ala berfirman dalam surah ini bahawa kita perlu menjaga diri kita dan keluarga kita dari azab neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.  Allah juga menceritakan sifat malaikat yang bertanggungjawab mengawal neraka, yang bersifat keras dan patuh kepada perintah Allah. Mereka tidak pernah menderhakai Allah dan sentiasa melakukan apa yang diperintahkan.


SIRAH

Sirah: Tsumamah bin Utsal (Sahabat Nabi)

Tsumamah bin Utsal adalah pemimpin kabilah Bani Hanifah, yang berasal dari wilayah Yamamah (kini di Arab Saudi). Beliau juga seorang pembesar yang sangat dihormati di kalangan kaumnya dan berpengaruh dalam urusan politik dan ekonomi di wilayah itu. Tsumamah awalnya merupakan musuh Islam dan merancang untuk memerangi Nabi Muhammad SAW.

Suatu ketika beliau telah ditawan oleh kaum Muslimin dan dibawa ke Madinah, lalu diikat di tiang Masjid Nabawi. Beliau merupakan orang yang membunuh ramai sahabat Nabi dalam peperangan, dan dia halal untuk dibunuh.  Namun, Nabi Muhammad SAW memperlakukannya dengan baik, meskipun beliau adalah tawanan. Nabi memberikan kebebasan kepadanya setelah beberapa hari. Sikap mulia Rasulullah SAW membuat Tsumamah tersentuh, lalu beliau memutuskan untuk masuk Islam. 

Selepas memeluk Islam, Tsumamah menunjukkan komitmen yang luar biasa terhadap agama. Salah satu tindakan pentingnya adalah memutuskan perdagangan gandum ke Mekah sebagai tekanan terhadap kaum Quraisy yang masih memusuhi Islam. Pada masa itu Wilayah Yamamah, tempat asal Tsumamah, merupakan kawasan yang subur dan menjadi pembekal gandum utama untuk masyarakat Mekah.

Sekatan tersebut menimbulkan kesulitan besar kepada masyarakat Mekah, sehingga mereka terpaksa menghantar utusan meminta Nabi Muhammad SAW agar memujuk Tsumamah menghentikan sekatan tersebut.


Sirah 2: Penentang Nabi

Harith bin Al-Harith berkahwin dengan Tsalamah dan dikurniakan tiga orang anak iaitu; Marhab bin Harith, Yasir bin Harith dan Zainab binti Harith. 

Zainab binti Harith telah berkahwin dengan Salam bin Misykam. 

Satu peristiwa telah berlaku pada tahun 7 hijrah, iaitu di dalam Perang Khaibar (Yahudi vs Islam).

Nabi Muhammad SAW bersabda;

"Aku akan menyerahkan bendera ini esok hari kepada seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya, dan Allah serta Rasul-Nya mencintainya. Allah akan memberikan kemenangan melalui tangannya." — HR. Muslim no.2405

Para sahabat sangat berharap untuk menjadi orang yang dimaksudkan, tetapi keesokan harinya, Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abi Talib, yang ketika itu sedang sakit mata. 

Ketika Ali dibawa menghadap Rasulullah SAW, baginda meludahi matanya sambil mendoakan kesembuhan. Dengan izin Allah, sakit mata Ali segera sembuh. Setelah mata Ali sembuh, beliau memimpin pasukan Islam dan berjaya membunuh Salam bin Misykam Marhab, Yasir dan Harith. Zainab pula ditawan. Dalam tawanan itu, Zainah telah merisik tentang manakan kesukaan Nabi iaitu kambing dan juga bahagian yang disukai oleh Nabi. Lalu diberitahu kepadanya bahawa Rasulullah SAW menyukai bahagian paha kambing.

Zainab pun menyediakan makana kesukaan Nabi, tetapi telah dibubuh racun terlebih dahulu. Kemudian Zainab pun menghidangkan makanan di hadapan Nabi. Namun, salah seorang sahabat Nabi yang memakan daging itu lebih dahulu, meninggal dunia akibat racun tersebut. Rasulullah SAW tidak segera menghukum Zainab binti al-Harith. Baginda memilih untuk memaafkan tindakannya, menyatakan bahawa pengampunan adalah jalan yang terbaik dalam situasi itu. Namun, setelah Bishr meninggal akibat keracunan, Zainab dikenakan hukuman qisas sesuai dengan syariat Islam. Riwayat lain menyebut bahawa Zainab telah memeluk Islam.