Ticker

6/recent/ticker-posts

Ceramah Al-Fadhil Ustaz Haji Roslan Jaafar — 13 November 2024

Lazy Image

13 November 2024 — Ceramah oleh Ustaz Haji Roslan Jaafar, Imam Masjid Sultan Abu Bakar, Temerloh yang berlangsung pada malam ini di Surau Al-Mukhlisin dimulakan mengucapkan kesyukuran kepada dapat bertemu di rumah Allah di dalam majlis yang berkah, iaitu majlis ilmu.

Ustaz Roslan seterusnya menekankan tujuan kehidupan manusia dan kepentingan ibadah kepada Allah. Menurut beliau, hidup kita bukanlah sia-sia tetapi bermatlamat untuk beribadah kepada Allah SWT. Ibadah yang dilakukan bukan untuk kepentingan Allah, kerana kekuasaan-Nya tidak bergantung kepada hamba-hamba-Nya. Sebaliknya, ibadah memberi manfaat kepada kita sebagai manusia, kerana ia mengajar kita untuk mengenali dan merendahkan diri sebagai hamba Allah yang lemah dan memerlukan-Nya. 

Ibadah juga bukan sekadar rutin tetapi memerlukan kesungguhan dan latihan yang konsisten agar kita dapat merasai kemanisan dan keikhlasan dalam ibadah. Apabila ibadah menjadi keutamaan, kita akan merasakan kebahagiaan dan syukur dalam melakukannya. Maka, kita perlu sentiasa memperbaiki diri dalam beribadah dan memanfaatkan masa yang ada untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.  

Manusia sebenarnya sentiasa berada dalam kedudukan atau keadaan beribadat. Namun, seringkali kita lupa untuk meniatkan perbuatan tersebut kerana Allah. Apabila tiada niat, amalan tersebut tidak menjadi ibadat tetapi menjadi adat. Amalan yang disertakan dengan niat kerana Allah akan mendorong kepada keiklasan dalam pengamalannya.

"Ketahuilah bahawa barangsiapa yang mengetahui faedah-faedah ibadah, nescaya lazatlah dia beribadah, dan beratlah hatinya mahu melakukan perkara-perkara lain selain ibadah"—Imam Fakhruddin al-Razi

Selain itu, pentingnya niat yang ikhlas dalam ibadah turut ditekankan. Beliau menjelaskan bahawa ibadah bukan sekadar perbuatan zahir tetapi melibatkan hati dan niat yang tulus kepada Allah. Jika niat kita adalah kerana Allah, kita akan merasakan kemanisan dalam ibadat, dan ini akan menghindarkan kita daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Orang yang ikhlas beribadat akan mendapat ketenangan, merasai kelazatan beribadat, dan tidak tertarik untuk melakukan perkara yang sia-sia atau berdosa. 

Ustaz Roslan juga menyebut bahawa ibadat adalah satu bentuk penyerahan diri secara sempurna kepada Allah, di mana setiap anggota tubuh turut serta dalam mengagungkan-Nya. Ibadat bukan sekadar kebiasaan tetapi melibatkan setiap aspek diri kita – pemikiran, hati, dan tubuh – yang tertumpu kepada kebesaran Allah. Ibadat ini juga seharusnya mengingatkan kita kepada segala nikmat yang Allah berikan di dunia ini, seperti kesihatan, rezeki, dan kemudahan yang membolehkan kita hidup dengan baik. Kita juga harus melihat akan nikmat yang ada pada diri kita seperti mata, lidah, dan telinga semuanya adalah untuk membesarkan Allah SWT dengan menggunakannya untuk melakukan amal ibadat. Lidah contohnya perlu digunakan untuk berzikir dan membaca Al-Quran. Telinga pula 'beribadat' dengan cara mendengar kalam Allah. 

Ibadat juga merupakan satu amanah yang besar dari Allah SWT. Manusia diberi amanah untuk memakmurkan dunia dengan cara yang mengagungkan Allah. Sebelum manusia wujud, dunia sudah dilengkapi dengan ciptaan lainnya seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Oleh itu, manusia perlu menghargai semua ini dengan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi, bukan sekadar memanfaatkan nikmat Allah, tetapi juga memeliharanya dengan sebaik mungkin. Amanah ibadat adalah tanggungjawab yang besar yang hanya manusia sanggup pikul, tidak seperti gunung dan makhluk lain yang takut menerimanya. Manusia, dengan kemuliaannya di sisi Allah, diberi tugas khusus untuk beribadat kepada Allah dengan sebaik mungkin. 

Ibadat perlu dilaksanakan dengan keikhlasan dan ketekunan. Apabila kita menjalankan ibadat dengan sempurna, kita akan merasai “kelazatan” dalam beribadat, sama seperti kelazatan menikmati makanan. Rasa puas dan bahagia itu timbul apabila kita melaksanakan ibadat dengan sempurna dan mengikut tuntutan agama. Ibadat yang dilakukan secara sempurna akan memberikan kepuasan, sehingga hati kita tidak lagi merasa kosong atau miskin dalam beribadat. Selain itu, kelazatan ibadat membawa keinginan untuk terus beribadat tanpa rasa jemu. Seseorang yang merasai kemanisan ibadat akan menantikan waktu untuk melaksanakan ibadat (solat) seterusnya dengan penuh keseronokan. 

Oleh kerana ibadat merupakan satu kewajipan, manusia yang menerima tanggungjawab ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Ia adalah amanah yang berat untuk dipikul, namun bagi sesiapa yang melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

Ringkasan

  • Kesyukuran dalam Kehadiran di Majlis Ilmu: Bersyukur dapat berada di majlis ilmu sebagai peluang untuk memperbaiki diri dan mendalami agama.
  • Kehidupan Bermatlamat Ibadah: Hidup manusia bertujuan untuk beribadah kepada Allah, bukan diciptakan dengan sia-sia.
  • Ibadah Menguntungkan Hamba, Bukan Allah: Ibadah dilakukan bukan untuk Allah tetapi untuk kebaikan kita sendiri, mengajar kerendahan hati dan kesedaran akan kekerdilan kita.
  • Keikhlasan dan Kesungguhan dalam Ibadah: Ibadah perlu dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, bukan sekadar rutinitas harian.
  • Pentingnya Konsistensi dalam Latihan Ibadah: Latihan berterusan dalam ibadah membantu kita merasai kemanisan dan mendekatkan diri dengan Allah.
  • Perbaiki Kualiti Ibadah Secara Berterusan: Sentiasa perbaiki kualiti ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah secara lebih mendalam.
  • Ibadah yang Ikhlas Menghindarkan Perkara Sia-Sia: Orang yang ikhlas dalam ibadah akan menjauhkan diri dari perkara tidak bermanfaat atau dosa, serta fokus pada kebaikan.
  • Penyerahan Diri Sepenuhnya kepada Allah: Ibadah perlu melibatkan hati, fikiran, dan tubuh sebagai bentuk penyerahan diri kepada Allah.
  • Amanah Manusia sebagai Khalifah di Bumi: Manusia diberikan amanah untuk memakmurkan dunia sambil memelihara ciptaan Allah dengan tanggungjawab.
  • Rasa Kelazatan dalam Ibadah Membawa Keikhlasan: Ibadah yang dilakukan dengan penuh ikhlas memberikan kelazatan dan ketenangan, membuatkan seseorang ingin terus beribadah.