

10 September 2024 — Ceramah mingguan oleh Dr. Abdullah bin Ismail, Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (Masjid Temerloh Jaya), pada malam ini di Surau Al-Mukhlisin diadakan seperti biasa selepas solat Maghrib. Dr. Abdullah membuka majlis dengan ulangkaji buku Pergi Tak Kembali, tentang kepentingan ibadah semasa hidup di dunia.
Setelah kematian, tiada lagi peluang untuk beribadah kerana ibadah hanya berlaku di dunia. Beliau juga menegaskan bahawa amalan semasa hidup sangat penting kerana di alam kubur, soalan yang diajukan oleh malaikat Munkar dan Nakir tidak lagi dijawab oleh mulut, sebaliknya berdasarkan amalan yang dilakukan. Hanya Allah SWT mengetahui rahsia kematian, bahkan malaikat maut juga hanya mengetahui setelah diperintahkan oleh Allah. Paling penting bukan bagaimana kita memulakan kehidupan, tetapi bagaimana kita mengakhirinya.
Dr. Abdullah turut menyentuh mengenai keindahan syurga yang digambarkan dengan adanya pasar yang disukai oleh kaum wanita. Kaum lelaki penghuni syurga pula dijanjikan bidadari. Semua ini dapat dicapai sekiranya seseorang itu menggunakan peluang yang ada di dunia untuk beribadah sebanyak dan sebaik mungkin, kerana solat merupakan perintah Allah yang paling utama.
Beliau juga menekankan bahawa setiap orang berpeluang untuk mengakhiri hidup sebagai ahli agama, dengan syarat ilmu yang dipelajari perlu dipraktikkan melalui amal. Kisah Khalid Al-Walid yang pada awalnya menentang Islam, tetapi berakhir sebagai "Pedang Allah," serta kisah Saad bin Mu'adz yang hanya lima tahun berada dalam Islam tetapi kematiannya menggoncangkan Arasy, menjadi bukti bahawa penghujung kehidupan seseorang lebih penting daripada permulaannya.
Dr. Abdullah juga menceritakan kisah Saidina Umar al-Khattab yang dahulunya seorang yang memusuhi Nabi, tetapi pada akhirnya menjadi kekasih baginda di dunia dan akhirat. Semua ini mengingatkan kita bahawa sesiapa pun boleh berubah dan mendapat pengakhiran yang baik dengan memperbaiki dan meningkatkan amalan.
Beliau turut memberikan nasihat bahawa untuk mencapai solat yang sempurna, dua kriteria perlu dipenuhi iaitu mengerjakannya di awal waktu secara berjemaah dan memastikan kesempurnaan wuduk. Solat sunat juga sangat penting untuk menampung kekurangan dalam solat fardhu, dan setiap solat hendaklah mengikut sunnah Nabi SAW.
Beliau turut mengingatkan para hadirin agar tidak memandang remeh perbuatan walaupun ianya kecil, seperti sekadar senyuman.
Dr. Abdullah juga menyeru para jemaah untuk memperbaiki dan meningkatkan amalan agar mendapat pengakhiran yang baik, dengan fokus kepada solat sebagai tiang agama dan pelaksanaanya sebagaimana sunnah Nabi SAW dalam mengerjakan solat.
Selepas kuliah dan solat Isyak berjemaah, para hadirin dihidangkan dengan jamuan ringkas yang disediakan oleh pihak Surau Al-Mukhlisin.











