11 September 2024 — Kuliah Maghrib Surau Al-Mukhlisin pada malam ini diteruskan dengan cemarah oleh Ustaz Haji Roslan Jaafar, Imam Masjid Daerah Temerloh.
Intipati kuliah:
Beliau memulakan kuliah Maghrib dengan penuh kesyukuran kepada Allah kerana diberi kesempatan hidup dan peluang untuk terus beribadat. Beliau menyatakan bahawa hidup ini harus dipandu oleh ajaran yang telah disampaikan oleh Allah melalui utusan-Nya, Nabi Muhammad SAW. Tanpa panduan tersebut, kita tidak akan mampu menjalani kehidupan, terutamanya dalam hal ibadat. Nikmat ibadat hanya dapat dirasai melalui latihan dan amalan yang konsisten.
Allah juga mengutuskan Nabi, seorang manusia seperti kita, untuk dijadikan contoh dan panduan. Pada zaman ini, ulama berperanan penting dalam menyampaikan ajaran Nabi selepas kewafatan baginda, dan tugas kita sebagai individu adalah untuk terus belajar. Allah telah menciptakan manusia semata-mata untuk mengabdikan diri kepada-Nya, dan manusia dimuliakan sebagai khalifah di muka bumi.
Beliau turut menegaskan pentingnya bersangka baik dengan Allah dalam setiap keadaan. Tidak salah meminta doa untuk keperluan dunia, tetapi jangan lupa untuk berdoa demi kebahagiaan akhirat.
Selain itu, Ustaz Roslan juga menekankan betapa pentingnya solat berjemaah dalam membina perpaduan masyarakat. Dari sudut sains juga, solat berjemaah diakui memberikan manfaat yang besar. Allah telah memberi banyak ruang dan peluang kepada manusia untuk beribadat, hanya tinggal kita yang perlu mengambil kesempatan tersebut.
Jamuan ringan disediakan oleh pihak surau kepada para jemaah yang hadir pada malam ini.



