8 November 2025 – Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) pada dasarnya tidak menghalang cadangan penggunaan kawasan lapang di Taman Temerloh Jaya Indah sebagai lapangan sasar memanah bagi kegunaan Kelab Memanah Tradisional Taman Temerloh Jaya Indah.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar, Majlis Perbandaran Temerloh kepada Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Temerloh Jaya Indah, Encik Mazlan Hanfiah.
Menurut surat berkenaan, kebenaran penggunaan kawasan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh pihak MPT bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk sekitar sentiasa terpelihara.
Antara syarat yang dinyatakan termasuk memastikan langkah-langkah keselamatan berada pada tahap maksimum, mendapatkan sokongan daripada penduduk sekitar atau lot-lot berhampiran kawasan lapang berkenaan serta meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak KRT sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
Kelulusan bersyarat itu dilihat sebagai satu perkembangan positif dalam usaha pihak KRT Taman Temerloh Jaya Indah memperkasa aktiviti sukan tradisional tersebut dan pembangunan komuniti setempat di Taman Temerloh Jaya Indah, khususnya dalam kalangan belia dan penduduk sekitar.