Ticker

6/recent/ticker-posts

Kuliah Mingguan: Dr. Abdullah Ismail 7 Oktober 2025

Lazy Image 


RINGKASAN KULIAH

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan yang menciptakan kehidupan dan kematian sebagai ujian bagi manusia. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, serta mereka yang terus berpegang dengan sunnah baginda hingga ke hari kiamat.

Mengambil ikhtibar pemergian Ustaz Haji Saleh Talib pada hari ini. Kehadiran para jemaah yang begitu ramai untuk sama-sama melaksanakan solat Jenazah untuk arwah,  para jemaah berhimpun dengan penuh keinsafan mengiringi pemergian seorang hamba Allah yang telah banyak berkhidmat kepada masyarakat dan menghabiskan sebahagian besar kehidupannya untuk agama. Keadaan itu turut menjadi peringatan buat yang hidup agar mengambil iktibar daripada kematian. Kehadiran ramai sahabat dan kenalan menunjukkan betapa mulianya seseorang apabila kehidupan dunia dihabiskan untuk kebaikan dan amal soleh.

Setiap insan yang hidup pasti akan pergi, meninggalkan dunia ini untuk selama-lamanya. Maka, doa daripada orang beriman amat besar nilainya bagi si mati. Rasulullah SAW bersabda bahawa apabila empat puluh orang mukmin menunaikan solat jenazah dan memohon keampunan bagi si mati, Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya (Hadis Riwayat Muslim, no. 948). Namun, untuk mendapatkan empat puluh orang beriman bukanlah sesuatu yang mudah, justeru kita perlu hidup dalam suasana berjemaah, bersahabat dan saling mengenali supaya saat kita pergi nanti, akan ada ramai yang hadir menyembahyangkan dan mendoakan keampunan untuk kita.

Rasulullah SAW juga bersabda bahawa sesiapa yang menunaikan solat jenazah dan mengiringinya hingga ke kubur, maka baginya pahala sebesar dua qirat, iaitu sebesar dua bukit Uhud. Namun, bagi mereka yang hanya sempat menunaikan solat tanpa mengiringi ke kubur, masih tetap diberi ganjaran satu qirat (Hadis Riwayat Bukhari No: 45 dan Muslim No: 945). Ini menunjukkan betapa besar pahala yang Allah sediakan untuk mereka yang menghormati dan mengiringi jenazah. Maka, janganlah kita lepaskan peluang untuk menunaikan solat jenazah setiap kali ada kesempatan, kerana ia mungkin menjadi sebab Allah memudahkan urusan kita pula di kemudian hari.

Kematian berlaku setiap masa. Di dalam kariah Masjid Temerloh Jaya, kadar kematian mencecah hampir dua orang seminggu, menjadikan jumlah kematian sekitar 80 orang dalam tempoh sembilan bulan. Angka ini bukan untuk menakutkan, tetapi sebagai peringatan bahawa kehidupan ini amat singkat dan kematian pasti datang tanpa mengira usia. Kini bukan hanya orang tua yang meninggal dunia, bahkan ramai juga anak muda yang pergi terlebih dahulu akibat pelbagai faktor seperti penyakit, kemalangan jalan raya, dan gaya hidup moden.

Maka, setiap kematian membawa ibrah bahawa hidup ini hanyalah sementara. Sewajarnya kita menjadi hamba yang bersedia menghadapi saat itu dengan bekalan amal yang mencukupi. Umur umat Nabi Muhammad SAW berada antara 60 hingga 70 tahun, dan sesiapa yang hidup melebihi umur itu sebenarnya telah mendapat anugerah tambahan dari Allah SWT. Namun hakikatnya, ajal tidak menunggu umur. Oleh itu, marilah kita gunakan baki usia untuk memperbanyakkan amal soleh dan persediaan menuju akhirat.


Sumud Flotilla

Antara peristiwa besar yang membawa pengajaran pada masa ini ialah misi Sumud Flotilla ke Gaza, yang disertai oleh ratusan sukarelawan Islam dan bukan Islam bagi membela nasib rakyat Palestin. Ia membuktikan bahawa keprihatinan terhadap kezaliman bukan hanya milik umat Islam, malah turut dikongsi oleh manusia yang cintakan keadilan. Hubungan diplomatik antara negara juga memainkan peranan besar dalam usaha menyelamatkan mereka. Malaysia tidak mempunyai hubungan langsung dengan Isxxl, maka kita bergantung kepada negara seperti Turki, Jordan dan Vietnam untuk menyampaikan mesej diplomatik. Turki antara negara yang banyak membantu, menjadi perantara dalam rundingan dan pembebasan tawanan. Semua ini menunjukkan pentingnya kesyukuran dan kebijaksanaan dalam menangani isu umat sejagat.

Namun, dalam kesibukan dunia dan pergolakan ummah, janganlah kita lupa bahawa Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kepada umatnya pelbagai jasa besar dan warisan agung yang menjadi panduan hidup hingga hari kiamat. Antara jasa utama baginda ialah:


  1. Peninggalan Al-Quran
    Al-Quran ialah mukjizat terbesar yang diberikan kepada Rasulullah SAW, menjadi panduan dan rahmat sepanjang zaman. Ia berfungsi memberi peringatan kepada orang yang lalai serta berita gembira kepada orang yang beriman. Membaca dan memahami Al-Quran akan mendekatkan manusia kepada hidayah Allah. Setiap huruf yang dibaca akan digandakan pahalanya sepuluh kali ganda, dan jika diamalkan, akan menjadi cahaya kehidupan dunia dan akhirat.

  2. Pahala yang berlipat ganda bagi amalan kecil
    Umat Nabi Muhammad SAW diberi keistimewaan luar biasa – amalan yang kecil diberi ganjaran pahala yang besar. Solat berjemaah digandakan 27 kali ganda, membaca surah Al-Ikhlas tiga kali menyamai pahala membaca seluruh Al-Quran, dan banyak lagi amalan yang mudah namun berpahala besar. Ini menunjukkan kasih sayang Allah terhadap umat Nabi yang berumur pendek tetapi diberi peluang memperoleh pahala yang banyak.

  3. Amalan yang berterusan walaupun selepas mati
    Rasulullah SAW mengajar bahawa apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan doa anak yang soleh. Inilah peluang untuk kita memastikan pahala terus mengalir selepas kematian, sama ada melalui amal sedekah, ilmu yang diajar, atau zuriat yang beriman.

  4. Syafaat Nabi SAW di akhirat kelak
    Syafaat ialah pertolongan dan pembelaan Nabi bagi umatnya yang berdosa agar diselamatkan daripada azab neraka. Betapa besarnya kasih sayang Rasulullah SAW sehingga baginda berdoa agar umatnya yang berdosa mendapat keampunan Allah. Maka, berusahalah menjadi umat yang layak menerima syafaat ini dengan memperbanyakkan zikir, doa, dan ibadah yang ikhlas.


Ibadah yang diterima di sisi Allah SWT memiliki dua ciri utama: pertama, dilakukan dengan ikhlas kerana Allah; dan kedua, dilakukan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Ikhlas bermaksud segala amal dilakukan tanpa mengharapkan pujian manusia, manakala mengikuti sunnah bermaksud melaksanakan ibadah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, tanpa menokok tambah atau mengurangkannya.

Apabila dua syarat ini dipenuhi, maka ibadah menjadi sah dan sempurna. Oleh itu, marilah kita sentiasa memperbaiki niat, menyemak amalan dan berusaha mencontohi cara hidup Rasulullah SAW dalam setiap aspek.

Kesimpulannya, setiap detik kehidupan adalah peluang untuk beramal dan bersyukur. Kematian bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada perjalanan panjang menuju akhirat. Al-Quran dan sunnah menjadi panduan utama agar kehidupan dunia ini tidak sia-sia. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba yang mensyukuri nikmat, beramal dengan ikhlas, mengikuti sunnah Nabi, dan akhirnya layak menerima syafaat baginda di hari pembalasan.