11 Oktober 2025 — Lapang Sasar Memanah Taman Temerloh Jaya Indah hari ini menjadi tumpuan apabila berlangsungnya Pertandingan Memanah Cilik Terbuka Temerloh yang berjaya menghimpunkan 75 pemanah muda dari pelbagai daerah di negeri Pahang.
Pertandingan yang dianjurkan oleh TJI Archery Club (Kelab Memanah TJ Indah), Taman Temerloh Jaya Indah ini bermula seawal jam 8.30 pagi dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta serta ibu bapa yang hadir memberikan sokongan. Penyertaan dalam kejohanan cilik ini melibatkan wakil dari daerah Temerloh, Jerantut, Bera, Bentong, Kuantan dan Pekan.
Selain tuan rumah TJI Archery Club. Kelab-kelab yang mengambil bahagian termasuklah KMT Nurul Iman, Qiefah Archery, Tekam Traditional Archery, KEMPAS, Ibnu Hassan Team, KMT Musollah Ar Raudah, KMT Gunung Senyum, dan AHRAC. Penyertaan juga datang dari wakil peringkat Tadika dan individu persendirian.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Encik Mazlan Hanfiah, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Temerloh Jaya Indah.
Pemilik TJI Archery Club, Cikgu Arma Zurin yang juga ketua Biro Sukan KRT TJ Indah merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua ibu bapa yang terlibat, para petugas kejohanan, petugas khas dari kalangan pelajar Sekolah Menengah Temerloh Jaya, Pengerusi KRT Temerloh Jaya Indah; En. Mazlan Hanfiah, Pengerusi Surau Al-Mukhlisin; Cikgu Zulkifli Ismail, Ahli Jawatankuasa KRT Temerloh Jaya Indah, pasukan memasak Surau Al-Mukhlisin (Geng Rebus Tak Empok) serta semua pihak yang bersama-sama menjayakan kejohanan pada pagi ini.