Ticker

6/recent/ticker-posts

Kuliah Mingguan: Dr. Abdullah Ismail 23 September 2025

Lazy Image 

Sebenarnya, kedatangan Rabiulawal seharusnya menjadi pendorong untuk kita terus memperdalamkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW. Bulan ini adalah bulan bersejarah, kerana pada bulan inilah lahirnya seorang insan yang Allah sifatkan sebagai rahmat ke seluruh alam: "Wama arsalnaka illa rahmatan lil ‘alamin" (Dan tidaklah Kami mengutuskanmu melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam). Kelahiran baginda membawa rahmat yang besar kepada seluruh alam.

Tanpa kehadiran baginda Nabi SAW, kita tidak akan tahu perbuatan mana yang mendatangkan pahala dan perbuatan mana yang mengundang dosa. Kita tidak akan mendapat panduan yang jelas. Apabila kita tidak tahu, implikasinya sangat besar. Apabila kita berpindah dari alam dunia ke alam barzakh, kita tidak akan pasti apa nasib kita. Tanpa panduan, kita pasti akan diazab.

Namun, dengan kehadiran Nabi, baginda membawa petunjuk kepada kita. Kita tahu mana yang betul dan mana yang salah. Kita tahu jenis pakaian yang boleh mendatangkan pahala dan yang mana pula yang haram, walaupun kita menyukainya. Jika kita memakainya juga, ia boleh menyeret kita ke neraka.

Begitu juga dengan makanan dan minuman. Kita tahu mana yang haram dan tidak boleh dimakan, walaupun ia adalah kegemaran kita. Jika kita tetap memakannya, kita akan ke neraka. Kita juga tahu perbuatan yang membawa kita ke syurga dan perbuatan yang berdosa serta membawa kita ke neraka.

Inilah keuntungannya apabila hidup kita ada panduan dan pilihan yang jelas. Kita tidak akan hidup membabi buta, di mana semua perkara diambil, semuanya dibakar, semuanya diminum, dan semuanya dilaksanakan tanpa batasan.

Seperti dialog dalam filem P. Ramlee, Semerah Padi. Seorang lelaki ( watak Galak ) apabila ditangkap kerana berzina, dia ditanya tentang pekerjaannya. Dia menjawab: "Di mana ada wanita, di situlah aku." Ini adalah contoh kehidupan yang tidak ada panduan. Namun, P. Ramlee bijak dalam menyampaikan mesej ini. Apabila ada panduan, manusia akan terikat dengan hukum. Walaupun minat pada wanita itu adalah fitrah seorang lelaki, minat itu terhalang oleh batas-batas hukum yang ditetapkan.

Secara ringkasnya, kehadiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW membawa makna yang sangat besar. Janganlah kita berhenti berbicara mengenai baginda hanya kerana bulan Rabiulawal sudah berakhir. Walaupun kita telah masuk ke bulan Rabiulakhir, teruskanlah mengingati dan membicarakan tentang baginda SAW.

JASA NABI MUHAMMAD SAW

Jasa besar Nabi Muhammad SAW amat agung, bahkan tidak dikurniakan kepada para nabi yang lain. Antara keistimewaan besar itu ialah amalan umat Baginda digandakan pahalanya berbanding umat terdahulu.

Umat sebelum ini melakukan satu amalan lalu mendapat satu pahala. Jika mereka beramal 60 tahun, pahalanya bersamaan dengan 60 tahun. Namun, usia mereka panjang, seperti umat Nabi Nuh a.s. yang hidup sehingga 1000 tahun. Maka amalan mereka selama 1000 tahun mendapat pahala sebanyak itu juga.

Sebaliknya, umat Nabi Muhammad SAW walaupun berusia pendek, tetap memperoleh ganjaran yang besar. Satu amalan digandakan pahalanya berlipat kali ganda. Sebagai contoh, solat berjemaah diberi ganjaran 27 kali ganda. Jika diamalkan berterusan selama 10 tahun, maka seolah-olah pahala solat itu menyamai 270 tahun.

Daripada Aisyah r.a., Nabi SAW bersabda bahawa dua rakaat solat sunat lebih baik daripada dunia dan segala isinya (HR. Muslim no. 725). Manusia sering mengejar nikmat dunia seperti gaji atau bonus, namun dua rakaat solat sunat sebenarnya jauh lebih besar nilainya.

Diriwayatkan daripada Usman bin Affan r.a., sesiapa yang menunaikan solat Isyak secara berjemaah seolah-olah telah qiam separuh malam. Manakala sesiapa yang menunaikan solat Subuh berjemaah seolah-olah telah qiam sepanjang malam. (HR. Muslim no. 651 dan 656, HR. Abu Daud no. 555, HR. al-Tirmizi no. 221)

Selain itu, Nabi SAW bersabda bahawa solat di Masjidil Haram digandakan pahalanya sebanyak 100,000 kali, solat di Masjid Nabawi digandakan 1,000 kali, dan solat di Masjid al-Aqsa digandakan 500 kali berbanding solat di tempat lain. (HR. Ahmad no. 15271, HR. Ibn Majah no. 1406)

Membaca surah al-Ikhlas juga mempunyai kelebihan besar. Sekali bacaan menyamai sepertiga al-Quran, manakala membacanya tiga kali menyamai ganjaran membaca keseluruhan al-Quran. (HR. Bukhari no.5013)

Amalan bersedekah pula dijanjikan ganjaran sehingga 700 kali ganda (Surah al-Baqarah, ayat 261). Satu ringgit yang disedekahkan, nilainya di sisi Allah bersamaan 700 ringgit. Jika lebih banyak disumbangkan, maka gandaan pahalanya juga semakin besar. 

Namun, setiap amalan soleh mempunyai syaratnya. Pertama, ikhlas kerana Allah SWT. Keikhlasan perlu dilatih berulang kali sehingga benar-benar hadir dalam hati. Jangan meninggalkan amalan hanya kerana merasa belum ikhlas, sebaliknya teruskan beramal sehingga akhirnya tercapai keikhlasan. Kedua, amalan mestilah menepati sunnah Nabi SAW. Amalan yang tidak berdasarkan sunnah tidak dikira sebagai amal soleh, walaupun kelihatan baik. Sebagai contoh, amalan tahlil pada malam ketiga atau ketujuh selepas kematian tidak pernah diajar oleh Nabi SAW. Walaupun disertai bacaan al-Quran, ia tidak termasuk amal soleh kerana tidak berlandaskan sunnah.

Selain itu, antara jasa besar Nabi Muhammad SAW ialah amalan umat Baginda bukan sahaja mendapat pahala, malah menjadi sebab penghapusan dosa.

Antaranya ialah zikir selepas solat: Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, dan Allahu Akbar 34 kali. Dengan zikir ini, dosa diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan. (HR.Bukhari no. 843, 6329) & Muslim no. 597, 938)

Amalan lain ialah mengucapkan “La ilaha illallah, wahdahu la sharika lah, lahul mulku wa lahul hamdu, wa huwa ‘ala kulli shay’in qadir” sebanyak 100 kali sehari. Ganjarannya ialah diampunkan dosa walaupun sebanyak buih di lautan. (HR.Bukhari no. 3293 & Muslim no. 2691)

Selain itu, setiap kali berwuduk, dosa-dosa kecil turut dihapuskan. Ini menunjukkan kasih sayang Nabi SAW kepada umatnya kerana Baginda mengajarkan amalan mudah tetapi pahalanya besar serta menghapuskan dosa. (HR.Muslim no.244)

Nabi SAW bersabda: “Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan doa anak soleh.” (HR. Muslim no. 1631). Ini bermakna walaupun manusia telah meninggal dunia, pahala masih mengalir melalui sedekah jariah seperti pembinaan masjid, penyebaran ilmu bermanfaat, atau doa anak yang soleh. Contoh terbaik ialah sahabat Abu Hurairah r.a. yang meriwayatkan ribuan hadis. Walaupun beliau telah meninggal lebih seribu tahun lalu, pahala tetap mengalir kerana hadis-hadisnya terus dibaca dan diamalkan oleh umat Islam.

Antara lain keistimewaan untuk Nabi Muhammad SAW ialah doa Baginda sangat mustajab. Doa Baginda kepada para sahabat menjadi kenyataan, antaranya doa kepada Ibn Abbas sehingga beliau menjadi antara sahabat paling alim dalam tafsir al-Quran. Doa Nabi juga sampai kepada umatnya. Baginda memohon agar sebahagian doa mustajabnya diperuntukkan untuk kesejahteraan umat di akhirat kelak.

Jasa terbesar Nabi Muhammad SAW ialah meninggalkan mukjizat agung, iaitu al-Quran. Kitab ini bukan sekadar untuk dibaca, tetapi juga untuk dijadikan panduan hidup.

Al-Quran mempunyai dua fungsi utama:

1) Memberi peringatan kepada manusia tentang larangan Allah dan akibat buruk bagi mereka yang ingkar.
2) Membawa khabar gembira kepada orang beriman dengan janji syurga dan keredaan Allah.

Maka, umat Islam perlu menggabungkan dua perkara: membaca al-Quran dan mentadabbur isi kandungannya. Tanpa tadabbur, al-Quran hanya menjadi bacaan tanpa penghayatan. Tadabbur membawa kepada kefahaman, dan kefahaman itu membimbing kita untuk mengamalkan ajaran Islam dengan betul.

Kesimpulan: Jasa besar Nabi Muhammad SAW dapat dirumuskan seperti berikut

1) Satu amalan tetapi pahalanya digandakan
2) Amalan terus memberi manfaat walaupun selepas mati
3) Amalan dengan manfaat berdanda (pahala & pengampunan
4) Bantuan Syafaat di Akhirat
5) Nabi meninggalkan mukjizat agung, iaitu al-Quran, sebagai panduan hidup.

Mudah-mudahan dengan menghayati jasa Nabi Muhammad SAW, kita menjadi umat yang bersyukur, istiqamah dalam amal soleh, dan sentiasa menjadikan al-Quran serta sunnah sebagai panduan hidup.