Setiap keputusan yang diambil dalam kehidupan seharian mencerminkan nilai dan keimanan seseorang. Seawal Subuh sehingga ke malam, segala tindakan dan pilihan yang dibuat menentukan sama ada seseorang itu mendekatkan diri kepada Allah atau sebaliknya. Keputusan bukanlah sesuatu yang remeh. Ia mencerminkan hala tuju kehidupan.
Secara fizikal, hijrah bererti berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Nabi pertama yang berhijrah ialah Nabi Allah Ibrahim A.S. Baginda menyeru manusia kepada agama Allah siang dan malam, namun tetap ditolak, hatta oleh ahli keluarganya sendiri, sebagaimana yang digambarkan dalam Surah Ibrahim. Disebabkan penolakan terhadap dakwah tersebut, Nabi Ibrahim berhijrah meninggalkan kota Iraq dan berpindah ke Palestin. Apakah tujuan hijrah itu? Semata-mata untuk menyampaikan agama Allah. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah, pasti akan mendapat pengiktirafan daripada-Nya. Justeru, setiap kali kita membaca tahiyyat akhir dalam solat, kita akan berselawat ke atas Nabi Ibrahim sebagai satu bentuk penghormatan. Nabi Ibrahim berhijrah demi agama, dan Allah memuliakan hijrahnya. Demikian juga kita. Kita juga perlu berhijrah. Hijrah kita hari ini ialah meninggalkan segala bentuk perbuatan dosa. Apa-apa sahaja yang kita ketahui sebagai maksiat, walaupun hati berat untuk meninggalkannya, atau sudah sebati dalam diri — tetap perlu ditinggalkan.
Jangan terus mengikuti hawa nafsu. Asalkan perkara itu berdosa, tinggalkanlah ia. Itulah erti hijrah sebenar. Dan sesungguhnya, Allah menjanjikan ganjaran besar kepada mereka yang berhijrah kerana-Nya.
Lihatlah bagaimana junjungan besar Nabi Muhammad SAW, setelah menerima penolakan dan tentangan hebat daripada masyarakat Mekah, tetap memilih untuk berhijrah demi agama. Baginda amat mencintai kota Mekah. Diriwayatkan bahawa Baginda pernah berdiri di Bukit Marwah sambil menitiskan air mata, lalu berkata:
"Wahai Mekah, andai aku tidak diusir daripadamu, nescaya aku tidak akan meninggalkanmu."
Namun demi Islam yang masih belum kuat, Baginda tinggalkan tanah kelahiran dengan penuh kesedihan. Setibanya di Madinah, ramai sahabat jatuh sakit, termasuk Bilal dan Abu Bakar RA. Lalu Nabi SAW berdoa:
"Ya Allah, tanamkanlah rasa cinta kami kepada Madinah sebagaimana Engkau telah tanamkan cinta kami kepada Mekah, bahkan lebih dari itu."
Hasil keikhlasan hijrah itu, Allah memberikan kemenangan kepada Nabi SAW. Islam akhirnya tersebar ke seluruh Tanah Arab dan seterusnya ke seantero dunia. Dari hanya beberapa orang pengikut, Nabi SAW berjaya membina sebuah negara Islam yang berpusat di Madinah dan berkembang pesat. Inilah hikmah dan keberkatan hijrah.
Maka, jika hati kita terganggu dengan perasaan benci terhadap seseorang, jangan terus luahkan di media sosial seperti Facebook. Meskipun individu itu musuh kita, perbuatan menghina atau mencaci tetap dikira berdosa besar.
Jika perbezaan fahaman politik menjadi punca ketidaksenangan, tidak mengapa untuk tidak menyokongnya. Itu hak masing-masing. Namun jangan sesekali melepaskan kata-kata kesat atau penghinaan. Ini bukan akhlak Islam.
Indahnya kehidupan ini jika difahami dengan pandangan yang benar. Oleh itu, setiap kali kita ingin membuat keputusan dalam apa jua perkara,termasuk dalam hal politiK, kita perlu sedar bahawa ia juga adalah satu bentuk keputusan yang membawa implikasi. Perlu dijelaskan bahawa perbincangan ini bukanlah ceramah politik, dan tidak menyentuh mana-mana parti secara khusus. Tujuannya adalah untuk melihat isu ini daripada sudut pandangan akademik dan adab Islam.
Perbezaan pandangan, sama ada dari segi kefahaman atau pegangan politik, adalah perkara yang lumrah dalam sistem demokrasi. Kita hidup dalam sebuah negara yang membenarkan perbezaan pandangan dan memberikan kebebasan untuk memilih. Maka, tidak wujud sebarang paksaan untuk menyertai mana-mana parti, sama ada parti tertentu atau sebaliknya. Setiap individu mempunyai hak dan kebebasan untuk memilih.
Namun demikian, satu perkara yang perlu diberikan perhatian, ialah adab dan akhlak ketika berbeza pandangan. Janganlah disebabkan perbezaan fahaman, kita terjerumus ke dalam dosa besar. Apakah dosa itu? Iaitu perbuatan hina-menghina.
Menghina antara satu sama lain, memberikan gelaran buruk kepada pihak yang berbeza pandangan, dan mencaci musuh politik — semua ini merupakan perbuatan yang tercela. Ketidaksetujuan terhadap sesuatu pandangan atau pemimpin tidaklah menjadi kesalahan, namun jangan sampai ketidaksepakatan itu dijadikan alasan untuk mencerca dan mengaibkan orang lain. Perbuatan sebegini bukan sahaja mencemarkan imej diri, malah mendatangkan keburukan kepada masyarakat secara keseluruhan.
Dalam sebuah hadis Nabi SAW, Baginda menggambarkan bahawa jika seseorang melaknat atau menuduh individu lain tanpa bukti yang sah, maka tuduhan itu akan berbalik kepada dirinya sendiri. Bahkan, dia akan menanggung dosa seolah-olah dialah pelaku sebenar perbuatan tersebut. (Hadis riwayat Abu Dawud, no. 4882)
Peringatan ini penting agar kita sebagai ahli surau, pencinta ilmu, dan warga yang berpegang kepada nilai Islam, tampil berbeza dengan mereka yang hanya mengikut emosi. Kita mungkin berbeza pegangan politik, namun ukhuwah Islamiyah dan silaturahim perlu terus dijaga. Inilah akhlak seorang Muslim yang benar-benar memahami erti persaudaraan dalam Islam. Malah di kalangan para sahabat Nabi sendiri pun berbeza karekter. Daripada Aisyah RA, katanya:
"Rasulullah SAW sedang berbaring di rumahku dengan menyingkap sebahagian pahanya atau betisnya. Maka Abu Bakar RA meminta izin untuk masuk, dan Baginda mengizinkan beliau masuk dalam keadaan Baginda masih seperti itu, lalu mereka berbicara. Kemudian Umar RA pula meminta izin, dan Baginda mengizinkannya masuk dalam keadaan masih seperti itu juga, lalu mereka berbicara. Kemudian Uthman RA meminta izin, lalu Rasulullah SAW duduk dan merapikan pakaiannya. Maka Uthman masuk dan mereka berbicara. Setelah Uthman keluar, Aisyah bertanya: 'Abu Bakar masuk dan kamu tidak berubah, Umar pun masuk dan kamu tidak berubah, tetapi apabila Uthman masuk kamu duduk dan merapikan pakaianmu?' Rasulullah SAW menjawab:'Tidakkah aku harus malu kepada seorang lelaki yang malaikat pun malu kepadanya?'" (HR.Muslim no.2401)
Ketika Nabi Muhammad SAW memulakan dakwah di Mekah, terdapat dua orang amat digeruni dan sangat berpengaruh, sehingga seluruh penduduk Mekah gentar terhadap mereka. Yang pertama ialah Abu Jahal, atau nama sebenarnya Amru ibn Hisham. Yang kedua pula ialah Umar ibn al-Khattab. Kedua-duanya terkenal dengan ketegasan dan keperibadian yang keras.
Namun, di sebalik ketegasan mereka, Nabi SAW tidak pernah mencela atau melaknat mereka. Sebaliknya, Baginda terus berdoa dengan penuh harapan: "Ya Allah, demi perjuangan agama ini, jika Engkau ingin memberi kemenangan kepada Islam, maka berilah hidayah kepada salah seorang daripada mereka."
doa Baginda bukanlah penuh kebencian, tetapi penuh harapan dan kasih sayang. Nabi tidak mengutuk atau memusuhi, seperti mana sikap segelintir manusia hari ini yang gemar menyebarkan kebencian di media sosial. Semakin banyak celaan dilemparkan, semakin jauh manusia daripada kebenaran. Sebaliknya, Nabi mendoakan hidayah.
Akhirnya, doa Nabi diperkenankan. Umar al-Khattab, yang pada mulanya keluar dengan niat membunuh Nabi SAW, singgah ke rumah adiknya dalam perjalanan. Di situlah hatinya terbuka setelah mendengar bacaan ayat suci al-Quran. Lalu beliau pergi menemui Nabi. Baginda telah bersedia menyambutnya.
Umar pun menyatakan keimanannya dengan kalimah syahadah. Sejak saat itu, beliau menjadi salah seorang pembela Islam yang paling tegas.
Begitulah kesungguhan Nabi SAW dalam berdakwah, penuh harapan dan doa. Seorang lagi tokoh besar yang dulunya musuh Islam ialah Khalid ibn al-Walid, panglima perang yang tidak pernah kalah dalam peperangan, sama ada ketika zaman jahiliah mahupun setelah memeluk Islam. Beliau sangat terkesan apabila meninggal bukan sebagai syahid di medan perang, tetapi para sahabat menenangkannya bahawa beliau adalah Pedang Allah dan Allah tidak akan menghinakannya di tangan orang-orang kafir.
Khalid turut terlibat dalam Perang Uhud, ketika beliau yang masih belum Islam berjaya memecah strategi tentera Islam dan menyebabkan 70 orang sahabat gugur syahid. Serangan balasnya memanfaatkan kelalaian pasukan pemanah di Bukit Uhud, menyebabkan tentera Islam dikepung.
Namun Khalid mempunyai seorang abang bernama al-Walid. Setiap kali al-Walid pulang ke Mekah, Nabi akan berkirim salam kepadanya dengan penuh harapan: "Mana Khalid? Mengapa dia belum datang kepada Islam? Sedangkan orang sebijak Khalid, tidak mungkin tidak mengenal kebenaran."
Ungkapan Nabi itu diulang-ulang dengan lemah-lembut. Akhirnya, Allah SWT mencampakkan hidayah ke dalam hati Khalid. Beliau menunggang kudanya menuju ke Madinah dengan penuh semangat. Setibanya di sana, beliau melafazkan keislaman dan menyertai barisan para pejuang Islam.
Kemuncak sumbangan Khalid dalam Islam ialah ketika beliau memimpin pasukan Islam dalam Perang Yarmuk. Dalam peperangan tersebut, beliau mengetuai 36,000 tentera Islam menentang 240,000 tentera Rom. Dengan izin Allah, pasukan Islam memperoleh kemenangan yang gemilang. Itulah hasil daripada kesabaran Nabi SAW dalam menyampaikan agama.
Kita perlu meneladani kesabaran dan kebijaksanaan Nabi SAW dalam dakwah dan keputusan hidup. Setiap keputusan yang kita ambil hendaklah berdasarkan pertimbangan agama.
Sebagai penutup, kita menelusuri kisah sahabat Nabi, Mu’az ibn Jabal. Beliau seorang yang sangat mulia dan memiliki pemikiran mendalam terhadap agama. Mu’az pernah bertanya kepada Nabi: "Ya Rasulullah, apakah amalan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada neraka?"
Itulah pertanyaan seorang sahabat yang benar-benar ingin menyelamatkan dirinya. Kita juga sepatutnya memiliki keprihatinan yang sama. Hijrah kita hari ini adalah hijrah untuk menyelamatkan diri daripada azab neraka dan menuju ke syurga Allah.
Nabi SAW menjawab pertanyaan Mu’az dengan menyebut lima rukun utama: "Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan menunaikan haji jika mampu."
Namun Nabi menyambung lagi:
"Wahai Mu’az, mahukah aku tunjukkan kepadamu satu amalan yang mampu menyempurnakan semua yang lain?" Nabi kemudian memegang lidahnya dan bersabda: "Tahanlah ini."
Maksudnya, jagalah lidah. Kerana menurut Baginda, ramai manusia akan dihumban ke dalam neraka dalam keadaan wajahnya tertiarap disebabkan kata-kata yang diucapkan oleh lidahnya.
Dalam kehidupan moden, ‘lidah’ bukan sahaja merujuk kepada kata-kata yang dituturkan, tetapi juga kepada tulisan di media sosial. Fitnah, cacian, dan kata-kata keji di alam maya juga termasuk dalam dosa lidah. Nabi SAW bersabda: “Bukankah manusia dihumban ke dalam neraka dengan wajah mereka kerana lidah mereka?” (HR. Tirmizi no. 2616)