
Alhamdulillah — Kita merafakkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana kita dapat bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah. Sebagai mengisi ruang, sebagai tazkirah, sebagai peringatan bersama pada malam ini, insya-Allah masih lagi ingin memperkatakan tentang ibadah ini. Namun kita kaitkan ibadah ini dengan satu peristiwa besar yang bakal berlaku dalam sejarah Rasulullah SAW, iaitu hikmah al-Hijrah, atau yang dahulu dikenali sebagai Awal Muharram.
Kita semua mengetahui kisah hijrah Nabi SAW dari Makkah ke Madinah. Apakah tujuan Nabi berhijrah? Tujuannya tidak lain ialah untuk menyebarluaskan Islam, untuk memartabatkan agama. Ketika Baginda berada di Makkah, perancangan-perancangan disampaikan kepada para sahabat dan umat Islam, dan Baginda mendapat wahyu serta perlindungan daripada Allah SWT.
Hijrah Nabi SAW membawa obor agama. Baginda berhijrah demi mendaulatkan agama Islam. Hari ini kita menerima agama ini dalam keadaan telah bersih, aman, tiada tekanan. Kita hanya perlu beramal sahaja. Namun lihat bagaimana perjuangan Nabi dahulu. Sekiranya kita ditawarkan sesuatu, mungkin kita akan memilih untuk tidak berdakwah demi keselamatan diri. Tetapi Nabi tidak demikian.
Walaupun Nabi ditawarkan pelbagai perkara untuk meninggalkan dakwah, Baginda tetap teguh. Orang politik hari ini pun tahu, apabila seseorang masuk ke dalam politik, pasti ada musuh. Namun lihat bagaimana Nabi menghadapinya. Kita patut bersyukur. Segalanya telah dipermudahkan untuk kita beramal.
Allah menyebut bahawa manusia ini mudah lupa. Itulah sebabnya kita diberi ibadah sebagai peringatan. Di manakah tempat paling mudah untuk kita ingat kepada Allah? Dalam solat. Kadangkala, sedikit gangguan sahaja sudah membuat kita lupa. Namun solat itulah peringatan paling utama. Nabi menyebut, solat itu wajib sejak kita masih sihat hingga ke akhir hayat.
Solat tidak mengenal waktu atau keadaan. Dari Subuh, Zohor, Asar, Maghrib hingga Isyak, setiap detik bumi ini sentiasa ada yang menunaikan solat. Ini menunjukkan bahawa solat itu tidak boleh ditinggalkan. Kita boleh tinggalkan puasa jika sakit, boleh tunda zakat jika belum cukup nisab, tetapi solat tidak boleh ditinggalkan kecuali dalam keadaan sangat uzur. Lima waktu sehari semalam menjadi bukti kita ini hamba yang sentiasa mengingati Allah.
Tujuan utama solat ialah untuk mengingati Allah. Firman Allah: “Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” Apabila kita lalai, solat itu menjadi peringatan kepada kita. Dalam solat, kita membaca zikir, surah, doa – semuanya adalah komunikasi dengan Allah SWT.
Fungsi solat juga adalah sebagai rehat untuk hati. Dalam solat, kita mengosongkan fikiran, meletakkan seluruh tumpuan kepada Allah. Tidak ada orang yang solat dalam keadaan marah atau cemas. Solat itu menenangkan. Walaupun hati kita sesekali terbang ke sana sini, namun solat tetap membawa kita kembali kepada Allah. Tekanan kehidupan hilang seketika apabila kita tunduk dalam solat.
Itulah sebab Nabi bersabda: “Rehatkanlah kami dengan solat, wahai Bilal.” Solat adalah terapi. Kita selalu cari terapi luar – joging, bersenam – namun terapi terbaik adalah solat. Kita abaikan potensi ibadah dalam mengubat hati. Kita lebih suka cari yang nampak oleh manusia.
Kita sanggup berjoging di tasik, pergi gimnasium, tapi berat untuk datang ke masjid. Sedangkan masjid tempat ibadah, tempat yang menyatukan umat. Lihat bagaimana Nabi SAW ketika sampai di Madinah, perkara pertama yang dilakukan ialah membina masjid. Masjid itu pusat perpaduan, pusat ibadah, tempat menyemai kekuatan jiwa dan ukhuwah.
Kita hari ini semua sudah tersedia. Hanya tinggal untuk beramal. Tak perlu bersembunyi, tak perlu berhijrah dalam kesusahan seperti Nabi dahulu. Dulu sahabat-sahabat menyembunyikan amal ibadah kerana takut diseksa. Kita pula ada masjid besar, selesa, ada kipas, ada tandas, semua ada. Tapi tetap beri alasan untuk tidak datang solat berjemaah.
Kita lihat juga bagaimana hijrah Nabi SAW – bukan dengan kereta, bukan dengan kenderaan mewah, tetapi berjalan kaki. Ada riwayat mengatakan Nabi mengambil masa 8 hari, ada pula mengatakan 13 hari. Nabi memilih jalan jauh untuk mengelak daripada disekat. Bersama Abu Bakar As-Siddiq, mereka bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari. Lihat betapa hebat perancangan dan pengorbanan Nabi demi Islam.
Kita hari ini tiada alasan. Hanya perlu laksanakan. Tidak perlu bertempur, tidak perlu bersembunyi. Semua sudah tersedia. Tapi kita masih beri alasan – panas, jauh, tiada kipas. Sedangkan dahulu masjid Nabi tidak ada kemudahan seperti kita hari ini, namun tetap penuh.
Program-program dianjurkan, termasuk majlis korban, bertujuan menarik orang datang ke masjid. Diberi daging, diberi kambing. Tapi tetap ada yang tidak mahu hadir. Sedangkan tujuan utama bukan kambing, tapi untuk ibadah, silaturahim, dan memakmurkan masjid.
Dulu, mula-mula surau dibuka tidak ramai. Tapi sekarang alhamdulillah. Semakin ramai hadir. Ustaz-ustaz pun memuji sambutan. Ada majlis, ada makanan – itu semua sampingan. Yang utama ialah berjemaah. Ibadah bersama. Jangan tunggu kita sudah tiada baru orang ingat.
Selagi ada masa, gunakan untuk beribadah. Dua perkara penting – hubungan dengan Allah dan silaturahim sesama manusia. Tak perlu tunggu saat akhir. Jika sudah hidup, syukur. Gunakan peluang untuk buat kebaikan.