
15 Januari 2025 — Kuliah Maghrib di Surau Al-Mukhlisin diadakan seperti biasa pada malam ini dengan oleh Ustaz Haji Roslan Jaafar, Imam Masjid Daerah Temerloh. Ceramah bertajuk Keistiemewaan Ibadah dalam Islam
Ibadah mempunyai dimensi yang luas, bergantung kepada kita sama ada mahu melakukannya atau tidak. Ianya bukan sesuatu yang hanya bergantung kepada kekuatan fizikal, tetapi memerlukan latihan, semangat, dan hati yang tekad untuk melaksanakannya. Jika tiada keinginan untuk melaksanakannya, maka seseorang itu hanya akan membiarkan peluang-peluang ibadah itu berlalu begitu sahaja.
Berikut adalah fungsi ibadah dalam Islam.
1. Ibadah Sumber Penyatuan Umat
Solat berjemaah memiliki peranan penting dalam menyatukan umat Islam tanpa mengira kekayaan, keturunan, atau bangsa, asalkan seseorang itu beriman dan Islam. Solat berjemaah wajib dilakukan, terutama dalam keadaan berjemaah kerana ia dapat melahirkan semangat yang lebih kuat berbanding solat bersendirian. Contohnya, solat terawih dan qiamulai pada bulan Ramadhan mendapat sambutan hangat kerana ia dilakukan secara berjemaah.
Solat juga berfungsi sebagai alat untuk mendisiplinkan diri dalam masyarakat. Sebagai contoh, selepas solat, kita melaksanakan wirid, walaupun hukumnya hanya harus. Namun, jika solat dilakukan secara bersendirian, kemungkinan besar amalan wirid tersebut akan terlepas. Begitu juga, solat berjemaah mendidik kita untuk mendisiplinkan diri, contohnya dalam meluruskan saf dengan sempurna, sesuatu yang hanya dapat dilakukan dalam solat fardu secara berjemaah di masjid.
Ganjaran solat fardu yang dilaksanakan secara berjemaah lebih besar berbanding solat yang dilakukan secara bersendirian. Walaupun solat bersendirian tetap memperoleh pahala, ganjarannya tidak sebanding dengan yang diperoleh daripada solat berjemaah.
Selain itu, menunaikan solat fardu di masjid juga dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat. Bayangkan seseorang yang hadir ke masjid atau surau untuk solat berjemaah lima kali sehari, dia akan bertemu dengan rakan-rakan jemaah yang lain pada setiap waktu solat. Perkara ini akan membina dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan masyarakat, serta menjadikan umat Islam bersatu dalam ibadah. Umat Islam berada dalam satu barisan di tempat ibadat yang sama, yang mendisiplinkan diri dan mengukuhkan ukhuwah.
Namun, umat pada hari ini tidak mengambil ibrah daripada penyatuan umat dalam ibadah. Masjid dan surau tidak ramai jemaah kerana sebahagian umat hanya melakukan solat di masjid mengikut kehendak dan keperluan peribadi mereka. Mereka pergi ke masjid apabila mereka merasa ingin pergi, tanpa rasa rugi jika tidak hadir ke masjid.
Solat fardu juga tidak membezakan status atau pangkat seseorang. Walaupun seseorang itu kaya, dia tetap tidak dapat membayar nilai ibadah tersebut. Hal ini berbeza dengan ibadah umrah, di mana seseorang yang berkemampuan dari segi kewangan boleh menaja umrah untuk individu lain yang kurang berkemampuan, dan dia akan mendapat ganjaran yang besar atas sumbangannya. Namun, dalam hal ibadah solat fardu, ia tidak boleh diwakilkan atau dilakukan oleh orang lain bagi pihak kita. Setiap individu wajib melaksanakannya sendiri.
Apabila ibadah dilakukan secara berjemaah, ia menjadi seperti satu binaan yang kukuh, saling melengkapi keperluan dalam masyarakat. Dalam berjemaah, tiada perbezaan pangkat atau status. Ibadah di sisi Allah SWT dinilai berdasarkan takwa, bukan berdasarkan kedudukan atau harta seseorang.
2. Menghapuskan Ego
Antara sifat manusia adalah memiliki perasaan ego.
Ibadah adalah hak Allah SWT, bukan hak manusia. Oleh itu, manusia tidak boleh mengelak daripada melaksanakannya kerana ia merupakan kewajipan yang ditetapkan oleh-Nya.
Apabila ibadah dilaksanakan, ia dapat menghapuskan perasaan ego dalam diri seseorang. Sifat sombong dan angkuh akan hilang, terutama ketika sujud – kedudukan yang paling rendah berbanding makhluk lain. Namun, pada saat sujud inilah manusia berada paling dekat dengan Allah SWT. Dalam ibadah, kita merendah diri di hadapan Allah dan membentuk sikap kehambaan.
Melalui ibadah, kita menghilangkan sifat ego kerana menyedari bahawa kita adalah hamba-Nya. Ini menimbulkan perasaan rendah diri, kerana tiada apa yang perlu kita banggakan, melainkan hidup kita yang hanya menumpang di bumi milik Allah. Oleh itu, kita seharusnya tidak terlalu mencintai dunia.
Apabila kita tidak merasa terlalu sayang pada dunia, barulah kita dapat merasakan keikhlasan dalam beribadah. Allah SWT menekankan ibadah wajib, namun kita juga boleh menampung ibadah tersebut dengan amalan-amalan sunat.
Sekiranya kita solat di rumah, kadangkala kita jarang melaksanakan solat sunat. Tetapi di masjid, kita lebih bersemangat kerana ada masa dan peluang, serta terinspirasi melihat orang lain melakukannya.
Kita yang menguruskan masa, bukan masa yang mengurus kita. Oleh itu, gunakanlah masa dengan bijak untuk menguruskan ibadah kita dengan lebih baik, dan utamakan ibadah kepada Allah SWT.
Puasa
Puasa mempunyai banyak fungsi yang bermanfaat bagi umat Islam. Salah satunya adalah untuk menghimpunkan umat manusia dalam keadaan yang sama, iaitu berpuasa di siang hari. Ini memberi peluang kepada individu untuk merenung dan mendekatkan diri kepada Allah. Selain itu, puasa juga memberikan ruang kepada kita untuk melaksanakan pelbagai ibadah lain pada malam hari, seperti solat terawih dan membaca al-Quran. Dengan berpuasa, iman seseorang akan meningkat, manakala nafsu akan semakin terkawal. Apabila kita menahan diri daripada makan dan minum di siang hari, kita akan lebih cenderung untuk melaksanakan amal ibadah dengan penuh keikhlasan pada malamnya. Salah satu keistimewaan bulan Ramadan adalah solat terawih berjemaah, yang hanya dapat dilaksanakan pada bulan ini. Ini memberi peluang kepada umat Islam untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan sesama mereka. Maka, puasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menjadi waktu untuk memperbanyakkan ibadah dan memperbaiki diri.
