Ticker

6/recent/ticker-posts

Kuliah Mingguan: Dr. Haji Abdullah Ismail 7 Januari 2025


7 Januari 2025  Kuliah Dr. Haji Abdullah bin Ismail diadakan seperti biasa pada malam ini. Dalam kuliah tersebut, beliau menyentuh beberapa perkara yang berkait rapat dengan bulan Rejab, antaranya mengenai kepentingan solat dan persediaan untuk menyambut bulan Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Dr. Haji Abdullah juga mengingatkan para hadirin tentang keutamaan memanfaatkan bulan Rejab untuk meningkatkan amal ibadah dan mempersiapkan diri dengan lebih baik bagi menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan itu.


RINGKASAN KULIAH

 REJAB, SOLAT DAN RAMADHAN


Bulan Rejab mempunyai sejarah yang berkait rapat dengan ibadah solat. Menurut sebahagian besar ulama, peristiwa Israk dan Mikraj yang membawa kewajipan solat lima waktu kepada umat Islam dipercayai berlaku dalam bulan ini. Oleh itu, masjid dan surau lazimnya akan mempergiatkan perbincangan mengenai Israk dan Mikraj  dan solat dalam tempoh ini.

Seharusnya, perbincangan mengenai perkara ini boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa terikat dengan bulan-bulan tertentu. Sebagai contoh, perihal solat boleh dibincangkan pada bila-bila masa, tidak perlu menunggu bulan Rejab.

Solat merupakan perintah Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, lalu baginda membawa perintah tersebut untuk diamalkan oleh umatnya. Pada asalnya, solat yang diterima oleh Nabi SAW ialah sebanyak 50 waktu sehari semalam. Namun, Nabi SAW yang disarankan oleh Nabi Musa telah beberapa kali pergi memohon keringanan daripada Allah untuk mengurangkan jumlah solat, kerana baginda bimbang umatnya tidak mampu melaksanakannya. 

Akhirnya, solat dikurangkan kepada lima waktu sehari semalam setelah Nabi Muhammad SAW tidak lagi mampu memohon keringanan daripada Allah SWT. Dalam peristiwa itu, Nabi Musa AS yang mengetahui bahawa jumlah solat telah dikurangkan dari 50 waktu ke lima waktu, masih menyarankan agar Nabi Muhammad SAW terus memohon pengurangan. Baginda yakin bahawa akan ada umat Nabi Muhammad yang tidak mampu menunaikan solat lima waktu dengan sempurna.

Pengajaran penting yang dapat diambil daripada peristiwa pengurangan waktu solat ialah ia merupakan nikmat besar kepada umat Islam, hasil daripada kasih sayang Nabi Muhammad SAW terhadap umatnya. Baginda menyedari bahawa umatnya tidak akan mampu melaksanakan kewajipan solat sebanyak 50 waktu sehari semalam, lalu memohon keringanan daripada Allah SWT.

Walaupun solat telah dikurangkan kepada lima waktu, hakikatnya masih ramai yang gagal menunaikan kewajipan ini dengan sempurna. Hal ini dapat dibuktikan melalui kajian JAKIM yang mendapati bahawa hanya sekitar 20% umat Islam di Malaysia benar-benar menjaga solat lima waktu, manakala selebihnya masih lalai dalam menunaikannya.


Hikmah Solat

Selain itu, peristiwa yang berlaku pada bulan Rejab, di mana solat difardukan kepada manusia, membawa hikmah yang besar. Solat merupakan amalan utama yang menjadi kunci bagi seseorang untuk meraih syurga.

Tanpa solat, manusia tidak akan dapat menikmati nikmat syurga, kerana solat adalah amalan pertama yang akan dihisab pada Hari Akhirat sebelum amalan-amalan lain diperhitungkan. Jika solat seseorang tidak sempurna, amalan lain seperti sedekah, puasa, korban, haji, dan umrah tidak akan diterima. Hal ini menunjukkan betapa besar kedudukan solat di sisi Allah SWT

Dalam bahasa mudah, jika tiada solat, maka tiada jalan untuk kita ke syurga. Solat adalah pemisah utama yang menentukan sama ada seseorang itu akan masuk ke syurga atau neraka. Orang yang menjaga solat dengan baik pasti akan masuk ke syurga. Oleh itu, kita harus bersyukur atas perintah solat ini kerana ia bukanlah satu bebanan, tetapi rahmat dan peluang untuk meraih syurga Allah SWT. 

Kita juga harus bersyukur dan mengingati pengorbanan Nabi Muhammad SAW yang berulang-alik memohon kepada Allah agar mengurangkan jumlah solat, demi memudahkan umatnya. Baginda tidak mahu kita terbeban dengan kewajipan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kita berdosa kerana meninggalkan solat.

Namun, meskipun jumlah solat dikurangkan kepada lima waktu sehari semalam,jumhur ulama berpendapat bahawa Allah SWT tetap memberikan ganjaran pahala seolah-olah kita menunaikan 50 waktu solat. Ini adalah bukti kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Kita perlu merenung satu hakikat — walaupun solat telah diringankan, masih ramai dalam kalangan umat Islam yang belum meletakkan solat sebagai keutamaan dalam hidup. Ada yang lebih mementingkan urusan dunia seperti pergi ke pasar malam, bersukan, atau menyelesaikan mesyuarat di pejabat, berbanding dengan solat.

Maka, kita perlu bermuhasabah dan memperbaiki diri, terutama dalam bulan Rejab yang penuh keberkatan ini, agar dapat meningkatkan amalan dan menjadikan solat sebagai keutamaan tertinggi dalam kehidupan seharian.


Ramadhan

Seterusnya, walaupun kita berada dalam bulan Rejab, fokus utama kita seharusnya tertumpu kepada persediaan menghadapi bulan Ramadhan. Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan, maka persiapan yang rapi perlu dilakukan agar kita dapat memanfaatkan bulan tersebut dengan sebaik-baiknya.

Persiapan ini boleh diibaratkan seperti seorang pelajar yang mula membuat ulang kaji dan latihan seawal tingkatan empat sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM di tingkatan lima. Begitu jugalah kita sebagai umat Islam, yang perlu mula mempersiapkan diri dengan amalan-amalan kebaikan seawal mungkin sebelum menyambut ketibaan Ramadhan.


Bulan Ramadhan Adalah Raja Segala Bulan

Perlambangan ini mencerminkan bagaimana manusia meletakkan seorang raja pada kedudukan yang tinggi dan terhormat. Mereka akan melakukan pelbagai persiapan yang rapi dan sempurna untuk menyambut kedatangan Raja atau putera Raja. Ironinya, begitulah sepatutnya sikap kita dalam menyambut kedatangan Ramadhan, Raja segala bulan. Kita perlu mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin bagi menghormati dan meraikan kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini.

Berkata Imam Abu Bakar Az-Zuhri; "Ramai orang Islam waktu kini kurang waspada pada  ibadah-ibadah yang penting, dia pandang remeh perintah-perintah Allah dalam ibadat, dia mahu buat hanya apabila sampai waktunya sahaja".

Kesilapan kita adalah menurunkan darjat ibadah dengan hanya melaksanakannya apabila sampai waktunya sahaja, sedangkan ibadah yang sebenar dilakukan dengan persiapan terlebih dahulu sebelum perintah itu datang. Sebagai kiasan, untuk menunaikan solat Maghrib, kita seharusnya datang awal, iaitu sebelum azan berkumandang. Walaupun solat itu diterima, sebaiknya kita membuat persiapan dan datang ke masjid lebih awal, iaitu sebelum azan dikumandangkan. Kata-kata ulama besar, Sufyan Uyainah, bagaikan menyokong kenyataan ini: "Jangan engkau seperti seorang hamba yang berlagak sombong, yang mana engkau tidak datang ke masjid kecuali apabila dipanggil (dengan Azan)."

Perkara yang Perlu Dilakukan Sekarang agar Roh Ramadhan Masuk ke dalam Jiwa

Bila masuk bulan Rejab, Tanamkan Rasa Gembira — Serlahkan perasaan gembira kerana kita semakin hampir dengan bulan yang mulia, iaitu Ramadhan.

Rasulullah SAW bersabda;

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, apabila datangnya Ramadan Rasulullah SAW bersabda: “Telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang dipenuhi keberkatan. Allah SWT memfardukan kepada kamu berpuasa, pada hari itu dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu-pintu neraka, dirantaikan syaitan-syaitan, di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan (lailatulqadar). Sesiapa yang tidak mendapat kebaikan pada bulan ini, maka rugilah dia.” — HR. Ahmad no. 7148 (Shahih)

Kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan mengandungi hikmah yang besar. Allah mewajibkan puasa agar umat Islam berpeluang meraih pahala yang besar sepanjang bulan tersebut. Jika ibadah puasa tidak diwajibkan, sudah pasti ramai yang akan melaksanakannya secara sambil lewa dan tanpa kesungguhan.

Allah SWT berfirman;

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa..."— Al-Baqarah (2:183)

Maka, sama ada kita suka atau tidak, kita wajib patuh pada perintah Allah dan berusaha meraih pahala yang sangat besar. Dalam bulan Ramadhan, ganjaran yang luar biasa menanti, di mana pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan pula dipenjarakan.

Selain itu, bulan Ramadhan juga menyaksikan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu malam Lailatul Qadar. Bayangkan, setiap amal ibadah yang dilakukan pada malam tersebut, seperti solat, membaca Al-Quran, bersedekah, dan sebagainya, akan mendapatkan ganjaran yang setara dengan amalan selama lebih kurang 84 tahun (angka ini bukan ukuran tepat, tetapi ia boleh menjadi unit ukuran perbandingan). Dengan ini, umat Islam hari ini berpeluang untuk menyamai amalan umat terdahulu yang hidup lebih lama, seperti umat Nabi Nuh, meskipun umur kita lebih pendek.  


Penutup

Tazkirah pada malam ini moga dapat dijadikan ingatan mesra agar kita melakukan sedikit persiapan mental, rohani, dan jiwa serta dapat menanam perasaan sykukur kerana kita telah diberi kesempatan untuk berada di bulan Rejab ini. Semoga kita dapat memanfaatkan bulan Rejab dan Syaaban dengan penuh keberkatan, dan akhirnya dipanjangkan umur agar diberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadhan.