Ticker

6/recent/ticker-posts

Kuliah Mingguan: Dr. Haji Abdullah Ismail 3 Disember 2024



Mukadimah
1
Kuliah mingguan Dr. Haji Abdullah Ismail, Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya, telah berlangsung seperti biasa pada malam ini di Surau Al-Mukhlisin. 

Kuliah dimulakan dengan ucapan syukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan. Dr. Abdullah mengingatkan jemaah agar sentiasa bersyukur kerana Allah telah memilih kita untuk berada di surau ini, tempat yang diberkati, serta menghargai setiap peluang yang diberikan. Amal soleh dan taubat merupakan dua elemen penting dalam kehidupan seorang Muslim. Dalam usaha memperbanyakkan pahala, kita dianjurkan menggandakan amal soleh dengan melakukan kebaikan kepada makhluk Allah serta mengiringi amalan tersebut dengan ibadah sunah, menjadikan setiap perbuatan lebih bernilai di sisi-Nya. Amalan mestilah selari dengan kehendak syariat dan bukan sekadar ikut-ikutan. 

Beliau juga menekankan pentingnya bertaubat dari segala dosa. Taubat yang tulus mampu menghapuskan kesalahan dan mendekatkan diri kepada Allah. Dalam hadis, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa amalan seperti solat berjemaah bukan sahaja memberi pahala tetapi juga mengampuni dosa. Beliau menyebut bahawa setiap langkah ke masjid menghapus dosa dan meningkatkan darjat kita di sisi Allah. Rasulullah SAW bersabda: 

 "Barangsiapa bersuci di rumahnya, kemudian berjalan ke salah satu rumah Allah (masjid) untuk melaksanakan kewajiban yang Allah tetapkan, maka kedua langkahnya, yang satu menghapus kesalahan dan satunya lagi meninggikan derajat".— HR. Muslim no. 666). 

Dr. Abdullah menasihati agar terus memanfaatkan peluang hadir ke masjid, jangan mudah tergoda dengan bisikan syaitan, dan sentiasa mensyukuri hati yang dijinakkan untuk ke rumah Allah. Beliau menambah bahawa hadir ke masjid atau surau bukan sahaja peluang mendengar majlis ilmu, tetapi juga jalan menuju syurga yang dijanjikan Allah. Penuntut ilmu diberi kemuliaan, sehingga para malaikat membentangkan sayap mereka kerana reda kepada mereka, dan makhluk lain seperti ikan di air turut memohon keampunan untuknya. Rasulullah SAW bersabda: 

"Barangsiapa meniti jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju surga. Para malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Dan seorang penuntut ilmu akan dimintakan ampunan oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di air".— HR. Tirmidzi no. 2646 dan Ibnu Majah no. 219. 

Akhir sekali, beliau mengingatkan para jemaah agar terus berusaha mencari ilmu walaupun dalam keadaan terpaksa.


Alam Dunia & Alam Barzakh
2
Alam dunia adalah persinggahan penting dalam perjalanan hidup kita yang sementara. Oleh itu, hargailah setiap detik kehidupan ini dengan sebaik-baiknya kerana masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Kehidupan di dunia merupakan peluang untuk memperbaiki diri, melakukan amal soleh, dan mempersiapkan bekalan untuk perjalanan ke alam seterusnya. Apabila kita memasuki alam barzakh, peluang untuk memperbaiki amalan dan mengubah masa lalu sudah tiada. Di sana, manusia hanya akan menuai hasil daripada segala perbuatan yang telah dilakukan semasa hidup di dunia. Maka, peliharalah kehidupan ini dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab sebagai amanah daripada Allah SWT. Hatta firaun sendiri hendak bertaubat apabila berada di ambang maut. Namun, taubatnya tidak diterima oleh Allah kerana dia hanya bertaubat setelah melihat azab. 

Umur manusia di dunia ini hanya sekitar 60 hingga 70 tahun sahaja, suatu tempoh yang amat singkat. Oleh itu, hargailah dan aturkan masa yang ada dengan bijaksana agar kita dapat mengisinya dengan perkara-perkara yang berharga dan bermanfaat. Masa di dunia ini adalah satu-satunya peluang yang kita miliki untuk berbakti, beramal, dan mempersiapkan diri menuju akhirat. Apabila nyawa kita diambil kembali oleh Allah SWT, segala amalan di dunia akan terhenti, dan hanya amal soleh yang dibawa sebagai bekalan.


Surah Al Asr
3
Surah di mana Allah bersumpah demi masa. Ini menunjukkan ia perkara yang begitu besar, betapa pentingnya masa dalam kehidupan manusia. Masa adalah anugerah yang sangat berharga, dan ia terus berlalu tanpa boleh kembali. Setiap detik yang berlalu menjadi saksi terhadap perbuatan manusia, sama ada baik atau buruk. 

Imam Syafie pernah berkata; "Sekiranya Allah tidak menurunkan kepada hamba-hamba-Nya hujah lain selain Surah Al-‘Asr, maka ia sudah mencukupi bagi mereka." 

Pendapat dan tafsiran mengenai surah ini: 

1) Demi Waktu Asar 
Sebahagian mufassir menafsirkan ‘Asr secara harfiah sebagai waktu senja atau petang (waktu Asar). Waktu Asar adalah salah satu daripada solat lima waktu yang jarang diperhatikan. Tetapi dengan surah ini, ia menunjukkan bahawa solat Asar merupakan antara solat yang paling afdal. Maka pengajarannya ialah; jagalah solat Asar dan lakukannya secara berjemaah. Selain itu solat Asar juga dikenali sebagai Solatul Wusto, iaitu solat yang tengah atau pertengahan. 

2) Umur Nabi (dalam keadaan Nubuwwah) 
Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama pada usia 40 tahun dan wafat pada usia 63 tahun, menjadikan tempoh dakwah baginda berlangsung selama 23 tahun. Dalam tempoh yang singkat ini, Baginda berjaya menyampaikan risalah Islam, baginda juga berjaya memanfaatkan setiap detik untuk beriman, beramal soleh, menyeru kepada kebenaran, dan bersabar dalam menghadapi pelbagai cabaran dakwah. Tempoh 23 tahun dakwah Baginda menjadi contoh pengurusan masa yang terbaik, di mana setiap saat digunakan untuk tujuan yang memberi manfaat kepada umat. 

Dr. Abdullah seterusnya menceritakan tentang tauladan dari Abu Hurairah r.a. yang telah meriwayatkan lebih daripada 5,000 (5,374) hadis dalam tempoh empat tahun. Ini menunjukkan dedikasi dan usaha yang luar biasa dalam menyebarkan ilmu Islam. Walaupun tempoh masa yang singkat, beliau telah menggunakan setiap detik dengan penuh kebaikan. Berdasarkan kisah Abu Hurairah tersebut, pengajaran yang dapat kita ambil ialah, BERDAKWAH. Dakwah yang afdal ialah dilakukan terhadap orang-orang terdekat dahulu, terutama keluarga sendiri. Pahala dari dakwah yang kita lakukan akan terus mengalir selagi ilmu yang dijarkan diamalkan. 

3) Demi Masa 
"Demi masa" merupakan tafsiran yang paling masyhur berkenaan dengan Surah Al-Asr. Masa merupakan modal yang sangat berharga bagi setiap individu. Kita diberi kesempatan oleh Allah untuk menggunakan masa dengan cara yang penuh keberkatan. Jika digunakan dengan betul, masa dapat menjadi aset yang sangat bernilai yang akan memberi manfaat di akhirat nanti. Masa boleh dijadikan modal untuk memperbanyakkan amalan baik dan ibadat yang akan menjadi bekalan yang kita bawa ke kehidupan akhirat. Oleh itu, setiap detik yang kita lalui harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. 

Masa yang ada perlu digunakan untuk melakukan ibadat khusus serta ibadat umum. Setiap amal ibadat yang kita lakukan dengan ikhlas dan penuh kesungguhan akan menjadi modal yang akan 'dicairkan' di akhirat nanti. 

Dr. Abdullah berkongsi kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang memberikan teladan yang luar biasa tentang penggunaan masa yang bijaksana. Walaupun beliau memerintah hanya selama setahun, namun sepanjang masa tersebut, beliau menggunakan setiap detik dengan penuh makna. Pada malam hari, beliau menumpukan perhatian kepada ibadah, sementara siangnya dihabiskan dengan menguruskan urusan pentadbiran negara. 

Seterusnya Dr. Abdullah menutup kuliah pada malam ini dengan sebuah hadis yang mana kaki seorang anak Adam itu tidak akan bergerak di akhirat nanti setelah ditanyakan tentang umurnya, waktu muda, harta, dan ilmunya. Rasulullah SAW bersabda; 
"Kaki Anak Adam tidak akan bergerak pada hari kiamat dari sisi Rabb-nya sehingga ditanya tentang lima hal; tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia pergunakan, tentang hartanya dari mana dia peroleh dan kemana dia infakkan dan tentang apa yang telah dia lakukan dengan ilmunya".— HR. Tirmidzi no. 2340