Kuliah Dr. Abdullah Haji Ismail, Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya di Surau Al-Mukhlisin.
Dr. Abdullah memulakan ceramah dengan mengungkapkan rasa syukur kepada Allah kerana telah memilih kita untuk hadir di surau ini dan menunaikan ibadah yang mulia, iaitu solat berjemaah di rumah-Nya.
Beliau menekankan bahawa salah satu cara untuk mencapai keselamatan di akhirat ialah dengan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Antara sunnah yang tidak pernah ditinggalkan oleh baginda ialah solat berjemaah, bahkan para sahabat turut berpegang teguh kepada amalan ini walaupun dalam keadaan sukar seperti ketika berperang. Sebagai contoh, dalam Perang Khandaq, meskipun sibuk menggali parit dan tidak berpeluang ke masjid, Nabi tetap mengarahkan para sahabat untuk mendirikan solat berjemaah di lokasi yang telah ditentukan.
Dr. Abdullah turut mengulas sikap umat Islam hari ini yang kurang mengambil berat terhadap pemeliharaan tinggalan sejarah, berbanding bangsa Eropah yang memelihara tamadun dan kebudayaan mereka sehingga dapat dilihat dan dinikmati hingga ke hari ini.
Beliau menegaskan bahawa dengan menjaga dan memelihara warisan sejarah, kita dapat memastikan peristiwa lampau terus dikenang. Begitu juga dengan sejarah manusia agung, Nabi Muhammad SAW, yang seharusnya diingati melalui bukti-bukti dan tinggalan yang mampu menginspirasi kita untuk meneladani baginda.
Kuliah diteruskan dengan ulangkaji ringkas mengenai Buku Pergi Tak Kembali: Kehidupan Dunia.
Rasulullah SAW bersabda, "Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang musafir." — (HR. Bukhari, no. 6416)
Namun, terdapat segelintir manusia yang menjadikan dunia ini seolah-olah syurga, seakan-akan kehidupan dunia ini akan kekal selamanya, padahal hakikatnya dunia akan berakhir dengan kedatangan kematian.
Statistik terkini menunjukkan bahawa seramai 6.1 bilion orang, yang merupakan golongan bukan Islam, hidup tanpa mengingati Tuhan. Mereka menjadikan dunia ini sebagai syurga dan mengabaikan hakikat kehidupan yang sementara.
Kehidupan dunia adalah satu fasa yang penting, walaupun kita hanya berada di dunia ini untuk sementara waktu.
Dr. Abdullah seterusnya berkongsi mengenai statistik dari Badan Khairat Kematian MTTJ untuk tahun 2023, di mana BKK telah menguruskan kematian sebanyak 75 orang. Sementara itu, bagi tahun 2024, seramai 98 orang telah dikebumikan hingga bulan November.
Statistik ini menjadi peringatan untuk kita bahawa kematian itu pasti, dan bagi mereka yang masih hidup, hendaklah mengambil kesempatan untuk turut serta dalam urusan solat jenazah di masjid. Ini kerana solat jenazah memberi ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Barang siapa yang menghadiri jenazah sehingga ia disolatkan, maka baginya satu qirath. Dan barang siapa yang menghadirinya hingga selesai pengebumian, maka baginya dua qirath." Para sahabat bertanya, "Apakah itu dua qirath?". Rasulullah SAW menjawab, "Seperti dua Gunung Uhud." — (HR. Bukhari no. 45)
Dalam merutinkan solat jenazah untuk orang lain, kita juga berharap agar suatu hari nanti, apabila tiba masa kita kembali kepada Allah, orang lain akan turut menyolatkan jenazah kita. Dengan itu, kita akan memperoleh manfaat daripada amalan tersebut, kerana Nabi SAW pernah bersabda:
" Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia, lalu disolatkan oleh empat puluh orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, melainkan Allah akan memberikan syafaat kepada mereka untuk jenazah itu." — (HR. Muslim no. 948)
Kehidupan kita selepas alam dunia ini, iaitu di alam kubur dan alam akhirat, sangat berkait rapat dengan amalan yang kita lakukan di dunia ini. Oleh itu, untuk menyelamatkan diri di akhirat, kita perlu membetulkan perjalanan hidup kita di dunia ini.
Dua perkara yang harus dijaga ialah:
1) Menjaga dan menambah amal soleh yang berbentuk ibadah khusus, seperti solat, puasa, zakat, dan ibadah lain yang diperintahkan oleh Allah.
2) Menjaga ibadah umum, iaitu amalan yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia dan kehidupan sehari-hari, seperti berbakti kepada ibu bapa, bersedekah, menuntut ilmu, dan menjaga adab serta akhlak dalam setiap tindakan.
Ibadah khusus — yang paling besar adalah SOLAT, dan ia harus dijaga dengan sebaik-baiknya, iaitu dengan cara solat berjemaah, menunaikan solat pada waktunya, dan berusaha untuk solat di masjid. Seorang lelaki mestilah mendirikan solat berjemaah di masjid dan bukan hanya di rumah.
Ibadah sunat — antara ibadah sunat yang penting ialah solat sunat rawatib, yang terdiri daripada 12 rakaat, dan sebaiknya tidak ditinggalkan kerana ia mempunyai ganjaran yang besar, iaitu berupa rumah di syurga.
Terdapat dua hadis berkenaan solat sunat sebelum dan selepas Zohor:
1) Sebelum Empat, Selepas Dua (Rumah di Syurga)
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa dalam sehari semalam mengerjakan solat sunnah dua belas rakaat, maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga; empat rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat setelahnya, dua rakaat setelah Magrib, dua rakaat setelah Isya, dan dua rakaat sebelum Subuh." — (HR. Tirmidzi no. 380)
2) Sebelum Empat, Selepas Empat (Tidak Disentuh Api Neraka)
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang menjaga solat sunat empat rakaat sebelum Zohor dan empat rakaat sesudahnya, Allah akan mengharamkan dia dari api neraka." — (HR. Tirmidzi no. 39, Nasa’i no. 1791, Ibnu Majah no. 1150, Abu Daud no. 1077)
Secara umumnya, solat sunat 12 rakaat, yang dilakukan dari sebelum Subuh hingga selepas Isyak, akan diberikan ganjaran rumah di syurga, sebagaimana hadis berikut: Dari Ummu Habibah, Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa mengerjakan solat dua belas rakaat, maka Allah 'Azza wa Jalla akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga." — (HR. Muslim no. 1198/728, Tirmidzi no. 1175/1798, Abu Daud no. 1059)
Selain itu, Nabi juga berpesan agar tidak meninggalkan solat sunat witir, sebagai penutup amalan seharian, ia boleh dilakukan selepas solat Isyak atau apabila bangun di tengah malam.
Sekali lagi sebagai pengulangan, Dr. Abdullah mencadangkan beberapa amalan yang boleh diamalkan oleh para jemaah setiap hari, iaitu:
1) Berselawat ke atas Nabi SAW
Antara amalan yang boleh diamalkan ialah mengucapkan selawat sebanyak 10 kali selepas Subuh dan 10 kali selepas Asar.
2) Memanfaatkan Wuduk
Wuduk dapat menggugurkan dosa, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Apabila seorang Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu membasuh wajahnya, maka keluar dari wajahnya segala kesalahan yang dia lihat dengan kedua matanya, bersama turunnya air wuduk atau akhir dari titisan air. Apabila dia membasuh kedua tangannya, maka keluar dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan oleh kedua tangannya bersama turunnya air, atau akhir dari titisan air hingga dia keluar dalam keadaan bersih dari dosa.” — (HR. Muslim no. 360)
Amalan doa selepas wuduk juga menjanjikan ganjaran yang luar biasa, sebagaomana hadis;
“Barang siapa berwuduk dan membaguskan wuduknya, kemudian dia mengangkat pandangannya ke langit dan berkata, 'Asyhadu Anlaa Ilaaha Illallah Wa Anna Muhammadan 'Abduhu Wa Rasuuluh', maka akan dibukakan baginya lapan pintu dari pintu-pintu syurga, dan dia memasukinya dari pintu mana saja yang dia kehendaki.” — (HR. Muslim no. 345/234)
Apabila selesai solat, jangan tergesa-gesa untuk keluar dari masjid. Antara amalan yang boleh dilakukan ialah beristighfar, bertasbih, tahmid, dan takbir. Pahala zikir tersebut sangat besar dan mampu menyamai amalan orang yang mengutamakan amalan kewangan, sebagaimana hadis Rasulullah SAW:
“Orang-orang kaya telah mendapat kedudukan yang tinggi dan nikmat yang kekal. Mereka solat seperti kami, berpuasa seperti kami, tetapi mereka dapat bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Rasulullah SAW bersabda, “Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu yang jika kalian amalkan, kalian akan setara dengan orang-orang sebelum kalian dan melebihi orang-orang sesudah kalian, dan tiada seorang pun yang lebih baik daripada kalian kecuali orang yang melakukan hal yang sama?”. Mereka menjawab, "Tentu, wahai Rasulullah". Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), dan takbir (Allahuakbar) sebanyak 33 kali setiap kali selesai solat.” — (HR. Muslim no. 595, HR. Bukhari no. 798)
Kita perlu terus meningkatkan semua amalan tersebut sehingga tiba masanya kita dijemput oleh Allah. Selain itu, kita juga perlu menjaga hubungan baik sesama manusia, selain hubungan kita dengan Allah SWT.
Rasulullah SAW bertanya:
"Tahukah kalian siapa orang yang muflis?" . Para sahabat menjawab: "Orang yang muflis di antara kami adalah yang tidak memiliki dirham ataupun harta benda." Lalu Rasulullah SAW bersabda; "Orang yang muflis dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa, dan zakat. Namun dia juga datang dengan dosa mencaci orang ini, menuduh yang lain tanpa bukti, memakan harta orang secara zalim, menumpahkan darah, dan memukul orang lain. Maka pahala kebaikannya akan diberikan kepada mereka yang ia zalimi. Jika kebaikannya habis sebelum menunaikan semua tuntutan, dosa-dosa mereka akan dilemparkan kepadanya, kemudian dia dilemparkan ke dalam neraka." — (HR. Muslim no. 2581/4678)
Hadis di atas menggambarkan seorang individu yang mungkin terlihat baik di dunia kerana konsisten menunaikan solat, berpuasa, dan amalan-amalan kebaikan lain. Namun, amalan-amalan tersebut tidak dapat menyelamatkannya apabila dia telah menyakiti orang lain. Pahala yang sepatutnya menjadi ganjaran untuk dirinya terpaksa diberikan kepada individu yang telah disakitinya. Lebih malang lagi, apabila pahala kebaikannya telah habis, dosa-dosa orang yang disakitinya pula akan dibebankan kepadanya, dan akhirnya dia akan dihumban ke dalam neraka.
Dr. Abdullah seterusnya menasihati jemaah agar menjauhkan diri daripada mana-mana kumpulan yang gemar saling menuduh pihak lain yang tidak sehaluan dengan mereka. Tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dan penuh prasangka boleh menyebabkan kita menjadi muflis di akhirat nanti.