

16 September 2024 — Pihak surau Al-Mukhlisin, Taman Temerloh Jaya Indah telah menyertai perarakan sempena Maulidul Rasul dan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September. Perarakan ini merupakan anjuran Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (Masjid Taman Temerloh Jaya—MTTJ) yang telah mempelawa khariah Surau Al-Mukhlisin untuk sama-sama memeriahkan sambutan kedua-dua perayaan tersebut. 'Kontijen' Al-Mukhlisin yang kemas berbaju Melayu mula berkumpul di perkarangan surau seawal jam 7.30 pagi sebelum sama-sama bergerak menuju Masjid yang berjarak 1.00 km sahaja.
Perarakan sejauh kira-kira 600 meter ini bermula sekitar pukul 8.30 pagi, dan juga turut disertai oleh AJK Masjid, wakil-wakil khariah Surau Al-Mukhlisin, Persatuan Wanita Bersara Temerloh Jaya, kanak-kanak sekolah dan orang perseorangan. Surau Al-Mukhlisin merupakan surau yang berada di bawah khariah Masjid Taman Taman Temerloh Jaya.
Lebih manis lagi, Surau Al-Mulkhlisin telah dinobatkan sebagai juara perarakan Maulidur Rasul pada tahun ini. Kesemua ahli khariah surau lengkap berpakaian kebangsaan sekaligus melayakkan mereka menerima hadiah yang disampaikan oleh Setiausaha MTTJ, En.Zulkarnain Hashim kepada Cikgu Zulkifli Ismail, Pengerusi Surau Al-Mukhlisin.
Sambutan ini bukan sahaja untuk memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, tetapi juga untuk meraikan semangat patriotisme dan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara kita.




















