7 Ogos 2024 — Kuliah bulanan Ustaz Mohd Firdaus bin Mohd Azmy, Imam Masjid Bukit Kepayang, telah diadakan di Surau Al-Mukhlisin, Taman Temerloh Jaya Indah, selepas solat Maghrib.
Kuliah Ustaz Mohd Firdaus pada malam ini berkisar tentang sirah sahabat yang bernama Asim bin Tsabit. Asim bin Tsabit merupakan seorang sahabat Rasulullah SAW yang handal berperang. Beliau adalah seorang pejuang yang gigih dan sangat mencintai Rasulullah. Dalam kuliah tersebut, Ustaz Mohd Firdaus menceritakan kisah bagaimana Asim bin Tsabit syahid dalam serangan musuh, namun jasadnya diselamatkan oleh Allah dengan lebah dan air bah, hingga musuh tidak dapat mengaibkan jenazahnya.
Selain itu, Ustaz Mohd Firdaus turut membincangkan secara ringkas tentang sejarah Perang Badar. Perang Badar adalah salah satu peperangan penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada tahun kedua Hijrah.
Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Asim bin Tsabit dan Perang Badar adalah betapa besarnya kasih sayang sahabat kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka sanggup menyerahkan nyawa demi mempertahankan Rasulullah SAW dan ajaran Islam. Keberanian dan kesetiaan mereka patut dijadikan contoh teladan bagi umat Islam masa kini.
Dalam slot kedua pula, iaitu tadabur Surah Yassin, ayat 20. Ustaz Mohd Firdaus menceritakan tentang seorang lelaki dari pinggir kota yang datang dengan tergesa-gesa untuk memberi amaran kepada kaumnya agar mengikuti para rasul yang diutus oleh Allah SWT.
Pengajaran yang dapat diambil daripada ayat ini adalah dakwah merupakan satu kewajipan bagi setiap individu Muslim. Pendakwah harus memahami tugas dakwah dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan. Dakwah tidak hanya terbatas kepada golongan tertentu, tetapi ia adalah tanggungjawab bersama untuk menyebarkan kebenaran dan membawa masyarakat kepada jalan yang diredhai Allah SWT.
Secara keseluruhan, kuliah Ustaz Mohd Firdaus pada malam ini memberikan pelbagai pengajaran yang berguna untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Seperti biasa, jamuan disediakan oleh pihak Surau Al-Mukhlisin kepada jemaah selepas solat Isyak.