21 Ogos 2024 — Ceramah oleh Al-Fadil Ustaz Haji Roslan Jaafar, Imam Masjid Daerah Temerloh, di Surau Al-Mukhlisin, Taman Temerloh Jaya Indah, yang telah ditangguhkan beberapa bulan diteruskan semula pada malam ini selepas solat Maghrib. Pengajian Ustaz Haji Roslan pada malam ini membincangkan tentang kepentingan solat berjemaah. Sebelum itu Ustaz Haji Roslan telah mengimamkan solat Maghrib.
Antara intipati ceramah Ustaz Haji Roslan ialah; solat berjemaah memiliki keutamaan yang besar, dengan ganjaran pahala sebanyak 25 hingga 27 kali ganda berbanding solat sendirian. Begitu besar keutamaannya, sehingga para sahabat Nabi ﷺ pernah berniat untuk membina rumah berhampiran masjid agar lebih mudah untuk solat berjemaah. Namun, niat mereka dihalang oleh Nabi ﷺ kerana banyaknya ganjaran yang diberikan kepada mereka yang berulang-alik ke masjid. Malah, bagi mereka yang istiqamah pergi ke masjid dari rumah untuk solat berjemaah, Allah menyediakan tempat persinggahan istimewa di syurga.
Untuk beribadah dengan sempurna, kesihatan tubuh badan adalah sangat penting. Maka waktu yang sihat ini perlulah digunakan untuk beribadah terutamanya solat berjemaah yang menjadi tuntutan besar dalam ibadah solat.
Pihak surau Al-Mukhlisin turut menyediakan jamuan ringkas selepas solat Isyak.