22 Julai 2024 — Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Harimau Sedunia 2024 di Institut Biodiversiti, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Lanchang pada 22 Julai 2024. Baginda diiringi oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada majlis tersebut, Baginda turut berkenan menyampaikan watikah kepada Renjer Komuniti Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal serta sijil penghargaan kepada Rakan Strategik Jabatan PERHILITAN. Selain itu, Baginda melepaskan rusa dan pelanduk ke habitat yang telah disediakan serta melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC), yang menempatkan enam ekor Harimau Malaya yang sedang menjalani program conditioning untuk membiasakan diri dengan habitat semula jadi.
Hari Harimau Sedunia, yang disambut pada 29 Julai setiap tahun, bertujuan memupuk kesedaran global mengenai kepentingan menjaga, memelihara, dan memulihara spesies harimau. Sambutan ini sangat relevan bagi Malaysia, kerana negara ini masih menjadi habitat kepada Harimau Malaya, spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara. Majlis ini diadakan di Pahang untuk menghargai sokongan padu Kerajaan Negeri Pahang dalam penubuhan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) dan kesungguhan Tengku Mahkota Pahang dalam menerajui usaha konservasi Harimau Malaya.






