Ticker

6/recent/ticker-posts

KRT TJ Indah Zahir Ucapan Tahniah Kepada Dato' Dr Haji Abdullah Ismail


Pihak KRT Taman Temerloh Jaya Indah dan seluruh komuniti Taman Temerloh Jaya Indah merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YBhg. Dato' Dr. Haji Abdullah Ismail, Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), atas pengurniaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Beliau sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada pelbagai program yang dianjurkan oleh KRT Taman Temerloh Jaya Indah serta Surau Al-Mukhlisin demi manfaat penduduk setempat. Sikap mesra, mudah didekati dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan menjadikan beliau seorang pemimpin yang dihormati dan disenangi oleh masyarakat.

Pengerusi KRT Taman Temerloh Jaya Indah, En. Mazlan Hanfiah berkata, pengurniaan tersebut amat bertepatan dengan jasa, komitmen dan sumbangan YBhg. Dato' Dr. Haji Abdullah Ismail dalam memajukan institusi masjid, memperkukuh aktiviti keagamaan, pendidikan dan kebajikan serta menyatukan masyarakat melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada semua lapisan. Menurut beliau, hasil usaha yang dilaksanakan bukan sahaja dirasai oleh penduduk di Taman Temerloh Jaya, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh negeri Pahang dan di peringkat kebangsaan.

Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan, kekuatan, keberkatan dan istiqamah kepada YBhg. Dato' Dr. Haji Abdullah Ismail agar dapat terus mencurahkan khidmat bakti kepada agama, masyarakat, negeri dan negara.