Ticker

6/recent/ticker-posts

Mesyuarat KRT Taman Temerloh Jaya Indah Bil. 1/2026


16 Mei 2026 — Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Temerloh Jaya Indah telah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Bilangan 1/2026 bertempat di Surau Al Mukhlisin, Temerloh Jaya Indah, petang tadi.

Mesyuarat yang bermula pada jam 2.30 petang itu dihadiri Ahli Jawatankuasa KRT bagi membincangkan pelbagai agenda berkaitan pengurusan serta pembangunan komuniti setempat. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Temerloh Jaya Indah, En. Mazlah Hanfiah.

Pengerusi KRT dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas komitmen semua ahli jawatankuasa yang terus memainkan peranan aktif dalam memastikan kesejahteraan dan perpaduan penduduk taman sentiasa diperkukuh.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk pembentangan serta pengesahan minit mesyuarat terdahulu, laporan kewangan semasa dan beberapa perkara berbangkit berkaitan aktiviti komuniti. Mesyuarat turut menyentuh soal pelantikan ketua-ketua biro bagi memperkemaskan lagi pengurusan organisasi KRT.

Selain itu, ahli mesyuarat turut menetapkan tarikh pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) sebagai usaha meningkatkan tahap keselamatan kawasan perumahan serta memperkukuh kerjasama antara penduduk.

Turut dibincangkan ialah pelantikan Ketua KOSPEN bagi merancang program kesihatan komuniti yang lebih tersusun dan berkesan pada masa akan datang. Pihak KRT TJ Indah juga berharap segala keputusan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan baik demi manfaat seluruh penduduk Taman Temerloh Jaya Indah.