13 Sept 2025 — Sambutan Bulan Kemerdekaan 2025 peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Temerloh berlangsung meriah di Dewan Taman Sri Kemuning hari ini dengan pelbagai pengisian menarik melibatkan segenap lapisan masyarakat.
Program dimulakan seawal 7.30 pagi dengan pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan acara utama seperti Fun Walk, Kuiz Kemerdekaan, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Karaoke Lagu Patriotik, Persembahan Kebudayaan, Bicara Tokoh oleh Dato’ Zainal Azlan bin Haji Bidin serta Deklamasi Sajak dan Puisi.
Selain itu, orang ramai turut berpeluang menyertai cabutan bertuah dan mengunjungi gerai jualan serta pameran yang disertai oleh agensi kerajaan dan syarikat swasta antaranya Sinar Optik, Pejabat Kesihatan Daerah Temerloh, Klinik Kesihatan Tanjung Lalang, Affin Bank dan Coway.
Acara kemuncak Sambutan Bulan Kemerdekaan 2025 anjuran KRT Daerah Temerloh pada sebelah malam berlangsung meriah bermula jam 8.00 malam dengan kehadiran tetamu jemputan, termasuk VIP YH Dato' Ridwan Hazimin Ramli, Penyelaras Dun Semantan, serta Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Mohd Azly bin Norzan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Pahang, diikuti Ikrar Rukun Negara serta bacaan doa. Para tetamu kemudiannya diraikan dengan jamuan makan, sambil diselang-seli dengan pelbagai pengisian menarik seperti deklamasi sajak dan puisi, pertandingan akhir karaoke lagu patriotik, serta persembahan kebudayaan.
Acara turut diserikan dengan ucapan aluan daripada Pengerusi Program Tuan Haji Mohd Sabri Aziz, disusuli ucapan aluan oleh Puan Julina Jaafar yang mewakili Pengarah Perpaduan Negeri Pahang. Seterusnya, majlis mencapai detik kemuncak dengan ucapan perasmian serta penutup rasmi oleh YH Dato' Ridwan Hazimin Ramli.
Penyampaian hadiah bagi pertandingan karaoke menjadi antara acara yang paling dinantikan, sebelum majlis ditutup secara simbolik dengan acara memotong kek dan sesi bergambar beramai-ramai.
Pengerusi KRT Taman Temerloh Jaya Indah merangkap setiausaha program, En. Mazlan Hanfiah, dalam ucapannya merakamkan terima kasih kepada Jabatan Perpaduan, KRT-KRT sekitar Temerloh, PDRM, JPAM, para penaja, peserta gerai jualan, agensi kerajaan serta semua urusetia yang telah menjayakan sambutan tersebut.