21 Disember 2024 – Pengerusi, En. Mazlan Hanfiah; Timbalan Pengerusi, En. Norsafari Awang; dan tiga Ahli Jawatankuasa (AJK) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Temerloh Jaya Indah menghadiri Kursus Pemantapan SRS RT Progresif dan Program Pengukuhan Keselamatan dan Ketahanan Komuniti yang berlangsung di KRT Taman Sri Layang, Mentakab, malam ini.
Kursus ini dirasmikan oleh YB Woo Chee Wan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Mentakab, dengan kehadiran lebih 100 peserta yang terdiri daripada wakil KRT, agensi keselamatan, dan komuniti setempat. Program yang bermula pada pukul 7.30 malam ini dianjurkan oleh Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Temerloh, dengan kerjasama PDRM, AADK, dan APM Temerloh.
Kursus dimulakan dengan beberapa sesi taklimat daripada pelbagai pihak. Taklimat pertama disampaikan oleh pegawai daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menekankan isu kesedaran penyalahgunaan dadah di komuniti dan langkah-langkah pencegahan. Taklimat kedua disampaikan oleh pasukan PDRM yang diketuai oleh DSP Puan Marina Hashim, dengan fokus kepada keselamatan komuniti, peranan rondaan sukarela, dan langkah pencegahan jenayah. Dalam sesi taklimat dan soal jawab bersama PDRM, peserta berpeluang mengajukan soalan secara langsung dan mendapat jawapan serta nasihat yang bernas daripada pihak polis.
Seterusnya, peserta diberi pendedahan mengenai peranan KRT dalam perpaduan komuniti melalui taklimat oleh Pn. Julina Jaafar, Pegawai Perpaduan dari Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Temerloh.
Kemuncaknya, YB Woo Chee Wan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Mentakab, menyampaikan ucapan perasmian. Dalam ucapannya, beliau memuji komitmen komuniti KRT dalam melaksanakan rondaan sukarela dan menekankan kepentingan kerjasama antara penduduk dan pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan dan keharmonian kawasan perumahan. YB Woo Chee Wan juga mengingatkan peserta tentang langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa scammer yang semakin membimbangkan pada masa ini dan melibatkan kerugian jutaan ringgit.
Sebahagian daripada program, penyerahan Kotak Rahmah kepada lima keluarga terpilih dari Taman Sri Layang turut diadakan. Sumbangan ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan. Penyerahan dilakukan oleh YB Woo Chee Wan usai majlis perasmian.
Majlis ditutup dengan pelepasan beberapa buah motosikal, diiringi pasukan URB PDRM sebagai simbolik rondaan SRS pada malam ini.
