19 Oktober 2024 — Mesyuarat AJK Bil.3/2024, KRT Taman Temerloh Jaya Indah telah berlangsung di foyer Surau Al-Mukhlisin petang ini, dengan kehadiran Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, dan beberapa AJK lain. Wakil Jiran Wanita yang baru ditubuhkan pada 9 September lalu turut hadir buat kali pertama.
Sebelum mesyuarat dimulakan, En. Mazlan Hanfiah, selaku Pengerusi KRT TJ Indah, menekankan kepentingan setiap AJK agar sentiasa peka terhadap mesej dalam kumpulan WhatsApp rasmi AJK, kerana ia merupakan medium utama untuk menyampaikan maklumat penting kepada AJK untuk kepentingan komuniti. En. Mazlan turut mencadangkan penubuhan sebuah Task Force sebagai langkah persediaan menghadapi musim tengkujuh kini untuk persediaan sebarang kemungkinan berlakunya banjir. Selain itu, beliau menggalakkan kerjasama erat antara AJK dan pasukan Bomba Uniti Temerloh Jaya yang baru ditubuhkan. Seterusnya beliau juga menyampaikan penghargaan kepada wakil Jiran Wanita atas kesudian menghadiri mesyuarat kali ini.
Mesyuarat diteruskan dengan perbincangan beberapa perkara berbangkit daripada mesyuarat terdahulu, diikuti pembentangan laporan kewangan terkini. Selain itu, laporan aktiviti Biro-Biro turut dibincangkan untuk memaklumkan perkembangan dan usaha terkini setiap Biro di bawah KRT TJ Indah.
Mesyuarat berakhir pada jam 4.07 petang. Sebelum bersurai, semua AJK yang hadir dijamu dengan hidangan yang disediakan oleh Timbalan Pengerusi, En. Norsafari Awang Ahmad.
Intipati Mesyuarat AJK Bil 3/2024
| No | Intipati Mesyuarat |
|---|---|
| 1 | AJK yang berminat untuk bercucuk tanam di tanah dekat tangki air adalah dialu-alukan. |
| 2 | Kursus KOSPEN akan diadakan pada 24/10/2024 di Mentakab. AJK yang hadir adalah Pengerusi, TP, dan SU. |
| 3 | (1) Ziarah Kasih akan dilakukan ke rumah Encik Herman (KKM) di Jalan TJI 1, (2) ayah mertua Encik Hamidin (Bank Rakyat) dan (3) Pak Mat di TJI 2/4A. |
| 4 | Mesyuarat bersetuju untuk memberi saguhati RM 40 kepada AJK yang menjalani kursus/seminar dan RM 20 untuk buah tangan Ziarah Kasih. |
| 5 | AJK akan memantau anak muda yang berpeleseran. |
| 6 | Jiran wanita dicadagkan agar mengadakan satu program untuk aktiviti. |
| 7 | Pengerusi Masjid TJ bersetuju untuk melaksanakan aktiviti keagamaan bagi jiran wanita, dengan syarat terdapat persetujuan daripada kalangan mereka. |





















