Ticker

6/recent/ticker-posts

Kuliah Mingguan: Dr. Abdullah Ismail 22 Oktober 2024


Kuliah Maghrib Dr. Haji Abdullah Ismail diadakan seperti biasa pada malam ini di Surau Al-Mukhlisin. Dr. Abdullah membuka kuliah dengan mengucapkan syukur kepada Allah kerana para hadirin tergolong dalam kalangan orang yang sedikit, iaitu orang-orang yang menyahut panggilan azan dengan bersegera untuk menunaikan solat,  datang ke surau semata-mata untuk menyahut seruan Allah. 

Beliau menegaskan bahawa kehadiran para jemaah adalah tanda keimanan yang tulus, menjadikan makna kehadiran ini lebih mendalam dan bermakna berbanding kehadiran tanpa tujuan yang jelas. Dalam pengisian kuliah tersebut, Dr. Abdullah berharap agar amalan ini dapat diteruskan dengan istiqamah hingga ke akhir hayat. 

Beliau juga mengingatkan jemaah tentang teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW, yang tidak pernah meninggalkan solat berjemaah hatta saat-saat terakhir hidup baginda selagi baginda mampu. Begitu juga dengan para sahabat Nabi seperti Saidina Ali, Saidina Uthman, dan Saidina Umar, yang hayat mereka diakhiri di atas sejadah.

Dr. Abdullah meyakinkan bahawa sekiranya solat berjemaah dijadikan amalan harian, setiap langkah yang kita ambil menuju ke masjid atau surau mungkin salah satunya akan menjadi langkah terakhir kita di dunia ini, dan menjadi harapan agar kematian yang kita alami adalah dalam keadaan husnul khotimah, serta mendapat ganjaran syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Dr. Abdullah setersunya menegaskan bahawa beliau suka untuk mengambil manfaat daripada kedudukan sebagai seorang yang berkongsi ilmu. Dalam hal ini, beliau menyampaikan satu ironi yang menarik antara Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Walaupun Saidina Abu Bakar adalah seorang yang kaya, sifat dermawan beliau menjadikannya istimewa. Namun, kedudukan Nabi Muhammad SAW jauh lebih tinggi daripada Saidina Abu Bakar, bukan hanya kerana baginda adalah seorang Nabi dan Rasul yang diutus oleh Allah tetapi juga disebabkan Nabi SAW lebih giat menyebarkan dakwah dan menyampaikan ilmu kepada umatnya. 

Slot seterusnya dalam kuliah malam ini adalah ulangkaji buku Pergi Tak Kembali. Dalam sesi ini, Dr. Abdullah menekankan betapa pentingnya menuntut ilmu, memahami dan mengamalkan ilmu yang diperoleh. Beliau menegaskan bahawa lebih baik lagi jika ilmu tersebut juga dapat dikongsikan dengan orang lain, terutama kepada orang terdekat seperti isteri di rumah yang mungkin tidak mempunyai peluang untuk hadir ke masjid seperti para suami. Beliau mengambil contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, yang sering berdakwah kepada isterinya Saidatina Khadijah terlebih dahulu serta kepada rakan rapat seperti Saidina Abu Bakar. Antara amalan penting yang boleh dikongsikan ialah amalan selawat ke atas Rasulullah, yang mana ganjarannya adalah syafaat daripada baginda di akhirat nanti. 

Bebalik kepada ulang kaji buku Pergi Tak Kembali, secara ringkas Dr. Abdullah mengimbas kembali tajuk beberapa tajuk yang sudah dibincangkan dalam kuliah-kuliah yang lepas;

Alam Rahim

Secara ringkasnya, ketika berada di Alam Rahim, kita semua pernah berada di dalam rahim ibu selama sembilan bulan. Dalam tempoh itu, ibu mengharungi pelbagai cabaran dan kesusahan untuk memastikan anak di dalam kandungannya selamat dan sihat. Oleh itu, adalah amat penting bagi kita untuk berbuat baik kepada ibu dan bapa.

Bagi mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa, sesungguhnya mereka sangat beruntung. Ibu dan bapa boleh diibaratkan sebagai pasport kedua untuk menuju ke syurga, selepas solat, ia dengan cara berbuat baik dan berbakti kepada mereka. Pengorbanan yang ditunjukkan oleh ibu dan bapa adalah tidak ternilai, dan adalah tanggungjawab kita untuk menghargai dan membalas jasa mereka dengan penuh kasih sayang dan perhatian. 

Seterusnya manusia akan bergerak ke Alam Dunia — Alam dunia adalah alam yang sangat penting. Kita wajar bersyukur kepada Allah kerana menciptakan kita, sekaligus memberi kita peluang untuk merasai nikmat syurga yang merupakan kemuncak segala kenikmatan.
 Dr. Abdullah turut berkongsi harapan agar semua hadirin dapat bertemu semula di dalam syurga dalam keadaan yang lebih nikmat. Sebagaimana falsafah yang menyebut, “Siapa hendak berehat di dalam syurga, jangan berehat di dalam dunia.” Ini bermakna, seseorang itu harus menyibukkan diri dengan urusan yang bermanfaat, iaitu melakukan amal ibadat sebagaimana tuntutan agama agar dapat 'berehat' di akhirat kelak.

Alam Barzakh
Alam barzakh merupakan alam di antara dunia dan akhirat, iaitu sebagai tempat persinggahan untuk menuju ke akhirat. Alam ini sangat menakutkan kerana keadaan di alam tersebut merupakan gambaran bagaimana keadaan seseorang di akhirat nanti. Ngerinya alam ini dapat digambarkan dalam sebuah kisah di mana sahabat mulia, Saidina Uthman yang menangis apabila lalu di kawasan perkuburan. Beliau teringatkan sabda Rasulullah bahawa; "Sesungguhnya kuburan adalah tempat singgah pertama akhirat. Jika selamat darinya, maka setelahnya pun ia akan lebih mudah (urusannya) namun jika ia tidak selamat darinya, maka sesudahnya pun ia akan lebih sulit lagi." Saidina Uthman berkata; Rasulullah SAW juga bersabda: "Aku tidak pernah melihat pemandangan yang paling mengerikan dibandingkan alam kubur."— HR. Ibnu Majah no.4257, Tirmidzi no.2230

Dr. Abdullah seterusnya menyebutkan kepentingan solat jenazah dan berharap agar para jemaah dapat saling menyolatkan antara satu sama lain, terutamanya apabila ada di kalangan mereka yang telah dijemput pulang oleh Allah terlebih dahulu. Beliau menjelaskan bahawa solat jenazah mengandungi doa yang makbul, sepertimana sabda Rasulullah SAW; "Tidak ada seorang lelaki Muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut)". — HR.Muslim (948); Abu Daud (3170); Ahmad (2509) dan Ibn Hibban (3082)

Beliau turut memuji ahli khariah Masjid Temerloh Jaya yang memahami pentingnya solat jenazah dengan mengambil peluang untuk mensolati jenazah di masjid kerana ia menjanjikan pahala yang sangat besar yang digambarkan dengan gambaran gunung Uhud.

Rasulullah SAW telah bersabda: “Barangsiapa mengiringi jenazah seorang muslim, kerana iman dan mengharapkan balasan dan dia bersama jenazah tersebut ketika disolatkan dan sehingga selesai dari penguburannya, maka dia pulang dengan membawa dua qirat, setiap qirat setara dengan gunung Uhud (satu pahala yang besar). Dan barangsiapa menyembahyangkannya dan pulang sebelum dikuburkan maka dia pulang membawa satu qirat”.— HR Bukhari no.45

Alam Akhirat
Perjalan manusia seterusnya adalah di alam akhirat. Perjalanan ini bermula dengan perhimpunan di Padang Mahsyar, tempat yang menyesakkan dan semua manusia berada dalam keadaan telanjang. 

Antara jalan untuk selamat sewaktu di fasa ini adalah dengan membaiki hubungan dengan Allah dan memurnikan hati sesama insan, jangan bertelagah sebagaimana yang terjadi di dunia politik yang dipenuhi dengan sikap buruk yang ditonjolkan oleh ahli-ahlinya yang sentiasa mencari jalan untuk bertelingkah, hinggakan perkara tersebut menjadi perkara biasa hingga membawa kepada fitnah memfitnah, caki maki dan sebagainya. Sedangkan sesama Muslim seharusnya menutup aib saudara seagama, agar tidak menjadi muflis di Padang Mahsyar akibat dosa sesama manusia.

Dr. Abdullah seterusnya secara ringkas merincikan tentang dua daripada tujuh orang yang selamat dan menjadi VVIP di Padang Mahsyar, iaitu;
  • Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah - Kerana pemuda berhadapan dengan cabaran yang lebih besar, terdedah kepada hiburan dan pelbagai perkara yang melalaikan.
  • Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid - Dr. Abdullah menyarankan agar para jemaah tidak terlalu ghairah meninggalkan masjid setelah solat, dan budaya rindu kepada surau serta masjid perlu ditanam dalam jiwa.

Sebagai ingatan, kita harus mengingat sosok manusia yang menjadikan kita manusia yang baik di dunia ini, iaitu Rasulullah SAW. Bagindalah yang akan membantu kita di akhirat nanti melalui syafaatnya. Terdapat dua jenis syafaat yang sangat berharga: mempercepatkan hisab dan mengeluarkan seseorang dari neraka.

Oleh itu, janganlah lokek berselawat kepada baginda. Tanamkan rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah, kerana baginda pernah bersabda, “Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai”.— HR. Bukhari no. 3412.

Sebagai penutup, Dr. Abdullah sekali lagi menekankan tentang cara amal ibadat yang sebenar dan selamat, iaitu dengan mengikuti cara yang telahpun dicontohkan oleh Rasulullah SAW.

Gambar-Gambar Kuliah

 
Gambar-Gambar Gotong-Royong Mencabut Ubi Untuk Menu Malam Ini