Ticker

6/recent/ticker-posts

Kuliah Mingguan: Dr. Abdullah Ismail 8 Oktober 2024

Lazy Image

8 Oktober 2024 — Kuliah Maghrib Dr. Haji Abdullah bin Ismail, Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah diadakan sebagaimana yang dijadualkan pada malam ini. Beliau membuka kuliahnya dengan menyebutkan makna hadis seseorang yang menunggu waktu solat ke waktu solat yang seterusnya akan mendapat pahala dan ganjaran.

Hadis Perawi
Rasulullah SAW bersabda, "Para malaikat akan mendoakan salah seorang diantara kalian selama ia masih di tempat solatnya, mereka , memohon: Ya Allah ampunilah dia, Ya Allah rahmatilah dia sebelum ia belum berhadas. Salah seorang diantara kalian dihitung dalam solat selagi mana ia menunggu waktu solat". HR. Muslim no.649 (Shahih)
Rasulullah SAW bersabda, "Berilah khabar gembira, Tuhanmu telah membuka pintu-pintu langit, Dia membanggakan kalian di hadapan para malaikat, Allah berfirman : Perhatikanlah hambaku, mereka selesai menunaikan fardu, namun mereka tetap menunggu fardu yang lain". HR. Ibnu Majah no.801 (Shahih)
Rasulullah SAW bersabda, "Perkata yang dapat menghapuskan dosa adalah menyempurnakan wuduk di saat yang tidak disukai, melangkahkan kaki menuju ke masjid dan menunggu solat selepas solat". HR. Muslim no.251 (Shahih)
Rasulullah SAW bersabda, "Jika ia telah masuk masjid, maka ia dihitung dalam solat selama ia menunggu solat". HR. Ibnu Majah no.766 (Shahih)
Dr. Abdullah juga memuji jemaah yang hadir dan menunggu solat Isyak sambil mengambil manfaat mendengar majlis ilmu. Menurutnya, majlis ilmu juga merupakan satu bentuk zikir yang besar ganjarannya. Ianya berdasarkan sebuah hadis yang menyebut malaikat akan membentangkan sayapnya menaungi orang-orang yang menuntut ilmu dan mereka juga akan dimohonkan keampunan oleh penghuni langit dan bumi, bahkan ikan di dalam air juga turut memohon keampunan untuknya.
Hadis Perawi
Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 'Barangsiapa meniti jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Dan seorang penuntut ilmu akan dimintakan ampunan oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di air.'" HR. Ibnu Majah no.219 (Shahih)

Dr. Abdullah juga mengingatkan bahawa Iblis telah berjaya membuatkan Nabi Adam a.s terkeluar dari syurga. Sungguhpun Iblis tidak menyuruh Nabi Adam untuk makan buah yang terlarang, tetapi Iblis mengumpan baginda dengan menggunakan pendekatan tipu daya yang sangat dahsyat. Maka ulama menyatakan Iblis tidak akan menggoda manusia secara langsung, sebaliknya melalaikan manusia dengan tipu daya yang menggoda. Sebagai contoh, Iblis tidak akan menghalang manusia untuk solat, sebaliknya, ia menggoda manusia untuk melambat-lambatkan solat. Dr. Abdullah seterusnya membawakan kisah seorang Abid (Rahib) pada zaman Bani Israil yang sangat kuat beribadah, sehinggalah dia akhirnya tewas dengan godaan Iblis yang menipunya. Iblis tidak menghalang Abid tersebut melakukan ibadah, tetapi ia menjanjikan sesuatu yang kononnya dapat membuatkan Abid tersebut menjadi lebih taat kepada Allah. Tipu daya Iblis itu akhirnya menjerumuskan Ahli Ibadah tersebut ke dalam dosa.

Slot seterusnya, Dr. Abdullah mengajak jemaah sama-sama untuk tadabur surah Taha ayat 117-120.

Dalam ayat tersebut, Allah memberi amaran kepada Nabi Adam dan Hawa agar berhati-hati dengan Iblis yang cuba mengeluarkan mereka dari syurga, kerana kehilangan nikmat syurga adalah musibah yang besar.

Seterusnya ayat 118 Surah Taha menjelaskan salah satu kenikmatan yang Allah berikan kepada Nabi Adam dan Hawa di dalam syurga, iaitu mereka tidak akan merasa lapar dan tidak bertelanjang. Kedua-dua nikmat ini menggambarkan kesempurnaan hidup di syurga, di mana segala keperluan sudah tersedia tanpa perlu berusaha. Makanan akan hadir mengikut niat dan keinginan seseorang.

Ayat 119 pula menyebut dua lagi nikmat yang Allah kurniakan di syurga, iaitu tidak akan merasa dahaga dan tidak akan mengalami panasnya matahari. Di syurga, manusia boleh minum sebanyak mana yang mereka inginkan, bukan kerana kehausan, tetapi semata-mata untuk menikmati rasa minuman tersebut. Selain itu, cuaca di syurga sangat nyaman dan selesa, tiada ketidakselesaan akibat kepanasan, menunjukkan kesempurnaan hidup di syurga yang penuh dengan ketenangan dan keindahan yang kekal abadi.

Walaupun Nabi Adam terlepas dari nikmat tersebut, namun ia merupakan pengajaran kepada kita pada hari ini supaya menjauhi godaan syaitan, agar dapat kita kembali ke syurga, tempat di mana Adam bermula.

Kuliah diakhiri dengan sesi berselawat beramai-ramai, menambah keberkatan dalam majlis ilmu malam ini.

Lazy Image
Lazy Image
Lazy Image
Lazy Image
Lazy Image
Lazy Image
Lazy Image
Lazy Image
Lazy Image
Lazy Image
Lazy Image
Lazy Image