24 Ogos 2024 — Program KOSPEN KRT Temerloh Jaya Indah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di Taman Temerloh Jaya Indah telah berlangsung pada pagi ini yang melibatkan ahli-ahli komuniti Taman Temerloh Jaya Indah. Program yang bermula pada jam 8.15 pagi ini dimulakan dengan pendaftaran peserta untuk cabutan bertuah, diikuti dengan sesi senamrobik.
Sesi senamrobik dipimpin oleh Coach Tengku Haziana Harun yang berpengalaman luas dalam bidang fisioterapi, dan juga merupakan seorang instruktor Klinik Kesihatan Temerloh dibantu oleh Puan Nurul Nadhirah. Dengan latar belakang yang kukuh dalam bidang kesihatan dan kecergasan, mereka berjaya memimpin aktiviti senamrobik tersebut dengan penuh semangat dan kecekapan, menjadikannya salah satu acara yang paling menceriakan semua peserta. Aktiviti senamrobik ini tidak hanya menarik minat golongan dewasa, malah turut disertai oleh kanak-kanak seawal usia 4 tahun dan warga emas sehingga 80 tahun. Keupayaan Coach Tengku Haziana dan Coach Nurul Nadhirah dalam mengawal audien yang pelbagai peringkat usia adalah sesuatu yang patut dipuji. Beliau bijak mengatur gerakan senaman yang sesuai untuk setiap peringkat umur, memastikan semua peserta dapat mengikutinya tanpa rasa ketinggalan.
Pemilihan muzik yang sesuai juga memainkan peranan penting dalam menjayakan aktiviti ini. Dengan irama yang bertenaga dan ceria, suasana menjadi lebih meriah, membuatkan peserta semakin bersemangat untuk terus bergerak. Kombinasi antara gerakan senaman yang tersusun, bimbingan yang jelas, dan pemilihan muzik yang tepat menjadikan sesi senamrobik ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga efektif dalam meningkatkan kecergasan fizikal para peserta. Secara keseluruhan, sesi senamrobik yang diketuai oleh Coach Tengku Haziana Harun dan Coach Nurul Nadhirah bukan sahaja menceriakan hari para peserta tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada peserta yang terlibat.
Acara seterusnya melibatkan aktiviti jalan kaki sejauh 10,000 langkah mengelilingi kawasan Taman Temerloh Jaya Indah. Jamuan ringan juga disediakan untuk para peserta dan kakitangan PKD
Program kesihatan ini juga merangkumi saringan kesihatan yang dipantau oleh Dr. Siti Nor Khazirah Abdul Khattab, Pegawai Perubatan NCD dari PKD Temerloh. Beliau telah memberikan khidmat nasihat yang baik kepada peserta saringan kesihatan berkenaan masalah kesihatan masing-masing. Selain itu, satu taklimat kesihatan penting telah disampaikan oleh Dr. Nur Sabrina Shahiful Bahari, Pegawai Perubatan dari KKTL, yang memberi pencerahan mengenai kesihatan dan kesejahteraan kepada hadirin. Antara mesej penting yang disampaikan beliau ialah; Obesiti dan kencing manis kini menjadi ancaman serius kepada kesihatan rakyat Malaysia, dengan nisbah 1 daripada 2 orang mengalami obesiti dan 1 daripada 4 orang menghidap kencing manis. Masalah ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan individu, tetapi juga memberi beban yang besar kepada ekonomi negara, khususnya dalam penyediaan ubat-ubatan dan rawatan untuk penyakit-penyakit ini. Oleh itu, pencegahan awal adalah langkah terbaik untuk mengatasi masalah ini sebelum ia memerlukan rawatan yang lebih intensif dan kos tinggi.
Acara seterusnya ialah cabutan bertuah, di mana hadiah berbentuk hamper telah disediakan oleh pihak PKD sebagai tanda penghargaan kepada para peserta.
Program hari ini turut dibantu oleh barisan staf dedikasi termasuk Iran Noorwati@Kamariah Ibrahim, Nur Sakinah Mohamad, Wan Kasmaniza Wan Nawi, Siti Salwani Kamarudin, Mazliena Hamzah, dan Zakiah Ahmad Sanusi, yang memastikan kelancaran setiap aktiviti.







































































































