Aktiviti ONE HOUR MALAYSIA CLEAN UP (1HMCU)
Peringkat Daerah Temerloh 2025
Pada 27 Disember 2025 (Sabtu), satu program kemasyarakatan iaitu ONE HOUR MALAYSIA CLEAN UP (1HMCU) peringkat Daerah Temerloh telah diadakan bermula jam 8.00 pagi hingga 9.00 pagi. Program ini dilaksanakan serentak di lokasi masing-masing dengan tujuan menggalakkan masyarakat meluangkan masa selama satu jam membersihkan kawasan mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan lestari.
Bagi kawasan KRT Taman Temerloh Jaya Indah, aktiviti ini telah dilaksanakan di Surau Al Mukhlisin, Taman Temerloh Jaya Indah. Walaupun keadaan cuaca pada pagi tersebut hujan, seramai 10 orang ahli tetap hadir dan bersama-sama menjalankan aktiviti pembersihan di kawasan perumahan dan persekitaran surau.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah mengutip sampah, membersihkan kawasan longkang dan merapikan kawasan sekitar bagi memastikan kebersihan dan keselamatan penduduk setempat terpelihara. Walaupun kehadiran tidak begitu ramai disebabkan faktor cuaca, semangat kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta amat menggalakkan.
Program 1HMCU ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli komuniti. Diharapkan aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih ramai agar usaha memelihara kebersihan persekitaran dapat dilaksanakan secara berterusan
#OneHourMalaysiaCleanUpTemerloh