Ticker

6/recent/ticker-posts

Sejarah Surau Al-Mukhlisin Taman Temerloh Jaya Indah

Penubuhan Surau Al-Mukhlisin dua puluh dekad yang lalu merupakan satu lembaran penting dalam perkembangan institusi komuniti di Taman Temerloh Jaya Indah (TJ Indah), Temerloh, Pahang. Pada tahun 2005, ilham untuk mendirikan sebuah surau muncul di tengah-tengah keterbatasan kemudahan ibadat bagi penduduk taman perumahan ini. Ketika itu, satu-satunya masjid yang berdekatan hanyalah Masjid An-Najjah, sebuah masjid sementara yang terletak di Taman Temerloh Jaya 4. Keadaan ini menimbulkan satu keperluan mendesak untuk mewujudkan sebuah tempat ibadah yang lebih hampir, mudah diakses, dan mampu menampung aktiviti keagamaan serta kebajikan komuniti setempat.

Masjid Annajah terletak 1.7km dari Taman Temerloh Jaya Indah

Ilham penubuhan surau ini dicetuskan oleh En. Yunus bin Kechik (Ayah Teh), Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) TJ Indah pada ketika itu. Beliau mencadangkan agar sebuah surau dibina di kawasan taman permainan kanak-kanak yang terletak dalam lingkungan perumahan. Cadangan tersebut mendapat sambutan yang baik daripada para penduduk.

Bagi merealisasikan hasrat ini, beberapa siri mesyuarat diadakan di rumah-rumah penduduk, membincangkan lokasi, struktur binaan, keperluan pembinaan, dan bentuk pentadbiran surau. Semangat kolektif dalam perbincangan ini telah menghasilkan kata sepakat bahawa pembinaan surau perlu disegerakan.

Kerja-kerja pembinaan dilaksanakan secara gotong-royong oleh penduduk taman. Proses ini merangkumi kerja mengukur tapak, membina bem, menaikkan tiang, menyimen, dan lain-lain, dijalankan dengan penuh semangat kesukarelawanan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Menariknya, pembinaan dilakukan siang dan malam demi memastikan surau dapat didirikan dengan segera demi keperluan komuniti. Dana pembinaan diperoleh daripada sumbangan derma penduduk dan masyarakat sekitar, termasuk sumbangan bahan binaan seperti pasir, simen, dan kayu kayan.

Kerja-kerja pembinaan turut dilakukan pada waktu malam

Tenaga kerja terdiri daripada penduduk awal TJ Indah. Antara individu penting yang terlibat termasuk Ayah Teh, Arwah Jemy, Cikgu Akbar, Din Tukang, Awang, Arwah Kamarul, Mat Jai, Cikgu Zul, Cikgu Padli, Wak Jan, Jef Askar, Meran Askar, Pak Malau, Ijat Paip, Wak Tumiran, Zul TNB, Amran TNB, Sahar, Rahman Kontraktor, Cikgu Din, Lan Telekom, Arwah Cik Omar, Shahibol, Zamri Askar, Tajul, Cikgu Awang, Rosli Seri Malaysia, Rasbe, Madi Altromen, Syed Hashim, Syed Abdul Rahman, Cikgu Razak, Saiful, Pak Hamid, Hj Razali, Hj Zali, Bahari, Azri, Arwah Hakim, Arwah Latif, Arwah Shahrul, Cikgu Fitri, Saiful Ajai, Isam Mustafar, dan ramai lagi.


Surau Al-Mukhlisin dibangunkan secara bergotong royong

Kehadiran individu-individu ini membuktikan bahawa pembinaan surau adalah hasil usaha kolektif masyarakat taman, bukan sekadar inisiatif individu. Semangat kerjasama yang terpamer telah menyatukan warga TJ Indah dalam misi membina satu institusi ibadat yang berkekalan.

Setelah siap dibina, surau mula berfungsi sebagai tempat solat berjemaah, dengan Hj Razali Celcom menjadi imam pertama. Fungsi surau melangkaui ibadah semata-mata, malah menjadi pusat komuniti yang mengukuhkan ukhuwah sesama penduduk.

Pada 14 Julai 2007, Surau Al-Mukhlisin telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Temerloh ketika itu, YB Dato’ Hj Sarit bin Azit. Dalam majlis tersebut, beliau menyumbangkan RM20,000 beserta karpet dan sistem pembesar suara sebagai sokongan terhadap pembangunan dan kelengkapan surau.

Selepas perasmian, nama surau ditukar daripada Surau Taman Temerloh Jaya Indah kepada Surau Al-Mukhlisin, yang membawa maksud keikhlasan dalam beribadah kepada Allah SWT. Nama ini kekal digunakan sehingga hari ini, sebagai simbol kepada semangat keikhlasan dan pengorbanan masyarakat dalam usaha mendirikannya.

Pada tahun 2006, pembinaan Masjid Temerloh Jaya telah bermula untuk menggantikan Masjid An-Najjah, dan siap sepenuhnya pada tahun 2010. Dengan itu, Surau Al-Mukhlisin secara rasmi menjadi surau kariah Masjid Temerloh Jaya, selaras dengan struktur pentadbiran agama di Pahang.

Peranan Surau Al-Mukhlisin terus berkembang sebagai pusat ibadah dan kemasyarakatan. Ia bukan sahaja menjadi tempat solat, malah turut digunakan untuk memasak secara berkelompok, mesyuarat, serta aktiviti rekreasi penduduk. Ini membuktikan bahawa surau ini telah matang sebagai institusi yang menyumbang kepada pembangunan sosial dan perpaduan komuniti.

Surau Al-Mukhlisin menjadi pusat komuniti bagi masyarakat TJ Indah

Penglibatan pelbagai lapisan masyarakat sejak awal penubuhan menjadi bukti kesungguhan penduduk dalam memastikan kelangsungan institusi keagamaan di TJ Indah. Sumbangan dalam bentuk tenaga, masa, harta atau kehadiran berjemaah adalah elemen penting yang memastikan surau ini kekal relevan.

Berpaksikan semangat masyarakat setempat, Surau Al-Mukhlisin terus dimartabatkan bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah juga sebagai ruang pertemuan dan pelaksanaan pelbagai aktiviti komuniti – dari majlis ilmu, gotong-royong, mesyuarat hingga riadah.

Kisah penubuhannya adalah catatan sejarah yang penuh dengan nilai keikhlasan, kesepakatan, dan perjuangan dalam menegakkan syiar Islam. Usaha dan pengorbanan tersebut menjadi bukti nyata kekuatan komuniti yang bersepakat demi satu tujuan murni.

Kini, selepas lebih 20 tahun, Surau Al-Mukhlisin berdiri sebagai saksi kegigihan generasi awal taman ini. Ia dibina bukan atas nama kemewahan, tetapi atas dasar keperluan, keikhlasan, dan kerjasama. Surau ini kekal sebagai lambang penyatuan masyarakat dan sumber kekuatan spiritual bagi penduduk TJ Indah. Sejarahnya wajar dikenang dan diteladani oleh generasi akan datang.

Koleksi Gambar Pembinaan Surau