Ticker

6/recent/ticker-posts

Majlis Persaraan YM. Raja Awang Raja Ahmad di Sireh Pinang Garden

 

28 Mei 2025 — Majlis persaraan YM Raja Awang Raja Ahmad, Penolong Pegawai Perpaduan di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Temerloh, telah berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan dan penghargaan pada jam 8.00 malam bertempat di Sireh Pinang Garden, Temerloh. Berkonsepkan tema “Sejambak Kenangan, Segunung Penghargaan”, majlis ini berjaya menghimpunkan seramai 200 tetamu yang terdiri daripada wakil 52 Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) dari seluruh daerah Temerloh.

Turut diraikan dalam majlis ini ialah En. Rosman Mat Isa, yang akan mengambil alih tugas dan tanggungjawab YM Raja Awang selepas persaraannya.

Majlis pada malam ini dikendalikan oleh En. Mazlan Hanfiah, Pengerusi KRT Taman Temerloh Jaya Indah, selaku pengacara majlis. Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Hj. Immerus Mahmud, diikuti dengan ucapan aluan oleh wakil Pengerusi KRT, Tn. Hj. Mohd Sabri bin Aziz.

Ucapan penghargaan disampaikan oleh Pn. Juliana binti Jaafar, Pegawai JPNIN Daerah Temerloh, yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas dedikasi, integriti dan khidmat cemerlang YM Raja Awang Raja Ahmad sepanjang tempoh perkhidmatannya di jabatan. En. Rosman Mat Isa turut menyampaikan ucapan sebagai pengganti baharu kepada YM Raja Awang.

Majlis turut diserikan dengan ucapan istimewa daripada YM Raja Awang Raja Ahmad sendiri, yang mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja JPNIN serta komuniti KRT yang telah memberikan kerjasama padu sepanjang beliau berkhidmat.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah lapan orang wakil daripada KRT Taman Temerloh Jaya Indah, termasuk Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Jiran Wanita, sebagai tanda sokongan dan penghormatan terhadap sumbangan besar beliau dalam memperkukuh perpaduan masyarakat setempat.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan sesi bergambar kenangan sebagai simbolik penghargaan tulus atas jasa dan bakti YM Raja Awang, selaras dengan tema “Sejambak Kenangan, Segunung Penghargaan”.