24 Disember 2024 — Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Temerloh Jaya Indah (TJ Indah), yang diketuai oleh Ketua Jiran Wanita, Pn. Norhazamimah Mohamad, telah melaksanakan program Ziarah Cakna dengan menyantuni Pn. Noraini Mohamad di kediamannya pada petang Selasa.
Turut serta dalam lawatan ini ialah Pn. Mariani Mohd Nazeri, Timbalan Ketua Jiran Wanita; Pn. Rohayati Rozali, Setiausaha Jiran Wanita; dan Pn. Alisya Abdullah, Bendahari Jiran Wanita.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk bertanya khabar, mengenal pasti keperluan jiran yang menghadapi masalah, serta memupuk sikap cakna dan prihatin terhadap komuniti setempat. Aktiviti seperti ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah di kalangan penduduk Taman Temerloh Jaya Indah.
Pn. Noraini, seorang pesara Jabatan Kastam Malaysia yang kini tinggal bersama anaknya, mengalami masalah kesihatan seperti sakit lutut, darah tinggi, dan kencing manis. Beliau kerap mendapatkan rawatan di hospital berhampiran. Semoga Pn. Noraini segera diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk menjalani kehidupan seharian.
Di akhir lawatan, sedikit buah tangan telah disampaikan kepada Pn. Noraini sebagai tanda sokongan dan kasih sayang daripada komuniti.
Program ini diharapkan dapat terus memperkukuhkan hubungan antara penduduk dan KRT Taman Temerloh Jaya Indah. Tahniah diucapkan kepada Jiran Wanita Taman Temerloh Jaya Indah atas inisiatif murni ini!
