14 Disember 2024 – Kursus Pemerkasaan Skuad Uniti Rukun Tetangga RT Progresif Daerah Temerloh telah berlangsung dengan jayanya hari ini. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Temerloh ini bertempat di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Temerloh. Kursus ini bermula pada jam 8.00 pagi dengan kehadiran wakil-wakil Kawasan Rukun Tetangga dari pelbagai kawasan di Daerah Temerloh.
Majlis perasmian kursus disempurnakan oleh YB Tuan Woo Chee Wan, Adun Mentakab. Dalam ucapannya, YB Woo menekankan kepentingan perpaduan dan peranan Skuad Uniti RT sebagai penggerak utama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.
Kawasan Rukun Tetangga Taman Temerloh Jaya Indah (KRT TJ Indah) turut serta dalam kursus ini dan diwakili oleh En. Mazlan Hanfiah, Pengerusi KRT Taman Temerloh Jaya Indah.
Aktiviti sepanjang kursus telah dirangka untuk memperkasakan peranan ahli-ahli RT melalui pelbagai modul latihan praktikal dan teori. Antara modul yang disampaikan termasuklah asas pertolongan cemas, CPR, pengendalian Choking, serta teknik-teknik menyelamat dalam situasi kecemasan. Selain itu, peserta juga diberikan penerangan mengenai pengurusan Pusat Pemindahan Sementara, serta asas kebakaran dan prosedur pengungsian bangunan. Modul-modul ini diharapkan dapat meningkatkan kesiapsiagaan dan kemahiran para peserta dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan di peringkat komuniti.

