Kita juga harus bersyukur kerana dapat melaksanakan solat lima waktu, terutamanya solat Maghrib, Isyak, dan Subuh di surau ini. Semoga amalan asas ini menyokong ibadah lain agar diterima Allah SWT dan menjadi sebab kita mendapat tempat di syurga-Nya.
Dr. Abdullah turut berkongsi pendekatan Rasulullah SAW dalam mendidik para sahabat, yang sering menggunakan teknik soal jawab. Baginda akan menyoal para sahabat agar mereka dapat memahami dengan lebih mendalam, bukan sekadar mendengar penyampaian ilmu secara satu hala.
Sebagai contoh, Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat tentang waktu berlakunya kiamat. Para sahabat tidak menjawab, mereka menyerahkan kepada Baginda untuk memberi penjelasan. Ini adalah salah satu cara bijaksana Rasulullah mendidik para sahabat. Gaya didikan Baginda ini kemudiannya diadaptasi oleh Dr. Abdullah pada malam ini, dengan mengajukan beberapa soalan interaktif kepada para jemaah.
Soalan 1:
Dr. Abdullah bertanya kepada para jemaah: Kisah sahabat miskin yang merasa cemburu positif terhadap sahabat-sahabat kaya kerana mereka dapat menyumbang harta untuk perjuangan Islam, seperti Saidina Abu Bakar dan Abdul Rahman Auf. Sahabat miskin ini merasa sedih kerana tidak mampu berbuat demikian. Adakah amalan yang boleh diamalkan oleh orang miskin yang pahalanya setara atau lebih tinggi dari amalan orang kaya?
Jawapan: Berdasarkan hadis dari Abu Hurairah r.a., dikisahkan bahawa orang-orang fakir Muhajirin datang mengadu kepada Rasulullah SAW, mereka berkata: “Orang-orang kaya telah mendapat kedudukan yang tinggi dan nikmat yang kekal. Mereka solat seperti kami, berpuasa seperti kami, tetapi mereka dapat bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Rasulullah SAW bersabda, “mahukah kalian aku ajarkan sesuatu yang jika kalian amalkan, kalian akan setara dengan orang-orang sebelum kalian dan melebihi orang-orang sesudah kalian, dan tiada seorang pun yang lebih baik daripada kalian kecuali orang yang melakukan hal yang sama?”. Mereka menjawab, "tentu, wahai Rasulullah". Rasulullah SAW bersabda, “bacalah tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), dan takbir (Allahuakbar) sebanyak 33 kali setiap kali selesai solat”. — HR. Muslim no.595, HR.Bukhari no.798.
Amalan ini merupakan amalan yang kerap dilakukan oleh setiap orang, namun sebahagiannya tidak mendapat kenikmatan dari amalan tersebut kerana tidak mengetahui betapa besarnya fadhilat yang disediakan kepada pengamalnya.
Jawapan kepada soalan ini sangat penting untuk kita ikuti. Meskipun kita mungkin tidak kaya, amalan yang Nabi ajarkan ini memberi peluang kepada kita untuk mendapat pahala besar melalui amalan dan juga pahala sunnah.
Soalan 2:
Apakah nama zikir yang jika dibaca selepas solat, akan dicatatkan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kejahatan, diangkat 10 darjat dan dipelihara dari gangguan syaitan?
Jawapan: Berdasarkan hadis; Rasulullah ï·º bersabda, "Barang siapa yang setelah solat Shubuh, sementara ia masih dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (duduk tasyahud) dan belum berbicara, lalu ia mengucapkan; LAA ILAAHA ILLALLAAHU WAHDAHU LAA SYARIIKA LAH, LAHUL MULKU WA LAHUL HAMDU YUHYII WA YUMIITU WA HUWA 'ALAA KULLI SYAI-IN QADIIR, sepuluh kali, maka tercatat baginya sepuluh kebaikan dan terhapus darinya sepuluh kesalahan serta diangkat baginya sepuluh darjat, dan pada hari itu ia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak disukai, serta terjaga dari syaitan..".— HR. Tirmidzi no.3396 ( Hasan gharib shahih)
Soalan 3:
Apa kelebihan membaca Ayat Kursi selepas solat?
Jawapan: Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang membaca ayat Kursi selepas solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati". (HR. Nasa’i no. 9848)
Seterusnya Dr. Abdullah mencadangkan agar para jemaah dapat menunggu sebentar selepas solat dan mengisi jeda masa tersebut dengan amalan-amalan yang mempunyai ganjaran yang besar pahalanya, jangan terus bangun usai solat, sebaliknya bacalah beberapa zikir dan juga ayat Kursi.
Amalan Setelah Solat:
- Istighfar – Baca tiga kali selepas salam sebagai permohonan ampun kepada Allah.
- Zikir "Laa ilaaha illallahu wahdahuu laa syariika lahuu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'alaa kulli syai'in qadir" – Dibaca 10 kali selepas solat Subuh dan Maghrib. Ini membawa ganjaran 10 kebajikan, menghapuskan 10 dosa, dan melindungi dari gangguan syaitan.
- Membaca Ayat Kursi – Memberikan perlindungan daripada gangguan syaitan dan jin serta jaminan syurga.
- Zikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar – Dibaca 33 kali untuk menghapuskan dosa kecil.