Ticker

6/recent/ticker-posts

Kuliah Mingguan: Dr. Abdullah Ismail 29 Oktober 2024

 
Kuliah Mingguan oleh Dr. Haji Abdullah bin Ismail, Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, diadakan seperti biasa di Surau Al-Mukhlisin, Taman Temerloh Jaya Indah pada malam ini. Sebagai mukadimah, Dr. Abdullah mengingatkan pentingnya untuk para jemaah bersyukur kerana masih istiqamah hadir ke masjid atau surau apabila azan dilaungkan. Dr. Abdullah juga menekankan sekali lagi bahawa solat adalah "pasport" ke syurga. 

Ulangkaji Buku Pergi Tak Kembali. 

Dr. Abdullah memulakan kuliah dengan menyentuh tentang fasa kehidupan manusia di dalam kandungan, iaitu alam rahim, sebelum manusia memasuki alam dunia yang merupakan alam paling penting sekali dalam kehidupan seseorang manusia. Menurutnya, jika seseorang itu lulus ujian di dunia, maka akan lebih mudah baginya untuk menghadapi fasa seterusnya. Sebaliknya, kegagalan mengurus kehidupan dunia akan membawa kesulitan di alam berikutnya. 

Dr. Abdullah turut mengingatkan bahawa penyesalan terbesar manusia adalah apabila seseorang membuka matanya dalam keadaan gelap di alam barzakh dan bukan lagi gelap di dalam dunia. Pada waktu itulah, penyesalan yang mendalam akan timbul kerana gagal menggunakan kesempatan untuk beramal semsa di dunia. Oleh itu, kita harus berusaha untuk tidak lalai semasa hidup di dunia ini bagi menjamin kebahagiaan di alam barzakh. 

Beliau seterusnya mengimbas kembali kuliah tiga minggu yang lalu mengenai tadabur Surah Taha, yang menggambarkan keindahan dan kenikmatan di dalam syurga, iaitu tempat rehat abadi. Di syurga manusia sentiasa bersih tanpa perlu mandi, tidak perlu buang air kecil atau besar, tidak merasa dahaga atau lapar, dan tidak bertelanjang. Di syurga, manusia tidak perlu bekerja dan akan sentiasa dilayani oleh pelayan-pelayan. Umur di syurga pula adalah 33 tahun sahaja iaitu umur terbaik bagi seseorang manusia. Dr. Abdullah turut mengingatkan bahawa sesiapa yang menginginkan rehat abadi di syurga, perlu beramal semasa hidup di dunia.

Di akhir kuliah, Dr. Abdullah bertanyakan kepada para jemaah tentang sejauh mana nilai cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW. Untuk menambah rasa cinta kepada baginda, kita perlu menyedari betapa beruntungnya kita menjadi umatnya. Cinta ini akan semakin mendalam jika kita memahami kelebihan-kelebihan istimewa yang Allah SWT kurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW, yang tidak diberikan kepada umat-umat lain. Menjadi umat baginda memerlukan lebih daripada sekadar cinta secara umum; ia memerlukan pemahaman mendalam tentang nikmat dan kelebihan khusus yang diberikan kepada kita.

Dengan memahami kelebihan-kelebihan khusus yang Allah SWT kurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW, rasa cinta tersebut akan menjadi lebih mendalam. Dr. Abdullah seterusnya berkongsi dengan jemaah beberapa keistimewaan umat Nabi Muhammad, antaranya ialah:

1. Ganjaran Ibadat yang Berganda

Pahala amalan umat Nabi Muhammad SAW sangat besar dan berlipat ganda, walaupun amalan mereka dilakukan dalam usia yang lebih singkat. Contohnya, solat berjemaah yang diberi pahala 27 kali ganda. Bayangkan jika seseorang solat berjemaah lima kali sehari secara konsisten, pahala ini akan terus berganda sehingga menyamai pahala beramal selama ribuan tahun. Inilah antara kelebihan luar biasa yang dianugerahkan kepada umat baginda. Berdasarkan sebuah hadis:

“Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ secara berjemaah, maka seolah-olah dia mendirikan solat separuh malam. Dan sesiapa yang solat Subuh secara berjemaah, maka seolah-olah dia solat malam secara keseluruhannya.”
– Riwayat Muslim (656) dan Ibn Hibban (2060).

Selain solat berjemaah, banyak lagi contoh ganjaran luar biasa yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW, seperti pahala solat Isyrak, haji dan umrah, serta keistimewaan malam Lailatulqadar. Allah SWT berfirman tentang malam Lailatulqadar:

"Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan."
– (QS Al-Qadr: 1-2).

Ini bermakna ibadah pada malam tersebut menyamai amalan berterusan selama seribu bulan.

2. Ganjaran Dua dalam Satu: Pahala dan Keampunan

Selain memperoleh pahala yang berganda, umat Nabi Muhammad SAW juga diberi keistimewaan untuk memperolehi ganjaran dua dalam satu atau serampang dua mata. Contohnya ialah dengan menyempurnakan wuduk, yang bukan sahaja memberi pahala, tetapi juga mendapat keistimewaan untuk memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang kita inginkan, sebagaimana hadis:

"Tiadalah seorang kamu berwuduk dan memenuhi kesempurnaan wuduk, kemudian berdoa: 'Ø£َØ´ْÙ‡َدُ Ø£َÙ†ْ Ù„َا Ø¥ِÙ„َÙ‡َ Ø¥ِÙ„َّا اللَّÙ‡ُ ÙˆَØ£َÙ†َّ Ù…ُØ­َÙ…َّدًا عَبْدُ اللَّÙ‡ِ ÙˆَرَسُولُÙ‡ُ', kecuali akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang lapan. Dia berhak masuk dari pintu mana yang dia mahu."
– HR Muslim (234), HR Abu Daud (169), HR Nasa’ie (148), HR Ibn Majah (470), HR Tirmidzi (55).

Selain itu, berwuduk bukan sahaja mendatangkan pahala tetapi juga menghapuskan dosa-dosa kecil pada anggota tubuh, sebagaimana sabda Rasulullah SAW;

"Apabila seorang hamba muslim atau mukmin berwuduk, maka setelah ia membasuh wajahnya keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya bersama titisan air terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya segala dosa yang telah dilakukan bersama air terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya segala dosa yang dilangkahnya bersama air terakhir. Sehingga setelah ia selesai berwuduk, ia bersih dari dosa-dosanya."
– HR Muslim No: 360.

Dengan satu wuduk sahaja, kita bukan hanya mendapat pahala, tetapi juga pengampunan dari dosa.

Selain itu, menghadiri majlis ilmu juga merupakan amalan yang bukan sahaja mendatangkan pahala malah akan mendapat doa daripada seluruh makhluk. Rasulullah SAW bersabda;

"Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat akan membentangkan sayapnya kerana reda kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu."
– HR Ibnu Majah no.219.

Dengan menghadiri majlis ilmu, seseorang bukan sahaja memperolehi ilmu, tetapi juga mendapat pahala dan doa keampunan daripada seluruh makhluk, termasuk ikan di dalam air.