13 Ogos 2024 — Pada minggu ke-2 ini, Dr. Abdullah bin Ismail menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Al-Mukhlisin, Taman Temerloh Jaya Indah. Dalam kuliah ini seperti biasa, Dr. Abdullah mengambil kesempatan menerangkan kepentingan menjaga solat, terutamanya solat berjemaah kepada para hadirin.
Intipati Pengajian
Dr. Abdullah memberi penekanan kepada pentingnya menjaga solat dan meningkatkan kualitinya kerana solat merupakan pasport ke syurga. Tanpa solat, amalan lain tidak akan diterima. Solat fardu yang tidak sempurna dapat dilengkapkan dengan solat-solat sunat, yang mana semuanya adalah tanda kasih sayang Allah yang ingin membantu hamba-Nya memasuki syurga. Solat juga berfungsi sebagai platform pengampunan dosa yang disediakan oleh Allah, malah air wuduk yang diambil sebelum solat itu juga bermanfaat menggugurkan dosa.
Dr. Abdullah turut mengaitkan kepentingan solat dengan dalil daripada Al-Quran, iaitu surah Al-Jumu'ah ayat 8 dan surah Al-Maun ayat 1-7. Dalam surah Al-Maun, terdapat ancaman kepada mereka yang lalai dalam solat, seperti solat di luar waktu, rukuk yang tidak sempurna, solat tanpa mengharapkan pahala, meninggalkan solat tanpa rasa bersalah, serta mereka yang tidak khusyuk dalam solat.
Pengajian diteruskan dengan perbincangan buku Pergi Tak Kembali, khususnya pada tajuk Alam Barzakh yang menerangkan proses kematian dan perjalanan roh selepas kematian menurut kepercayaan Islam. Roh orang beriman akan disambut dengan rahmat, dibawa ke langit, dan catatan amalnya disimpan di Illiyyin sebelum kembali ke alam barzakh. Sebaliknya, roh orang yang tidak beriman akan dikeluarkan dengan kasar, catatan amalnya disimpan di Sijjin, dan dihantar ke alam barzakh untuk perhitungan seterusnya. Alam barzakh ini adalah fasa awal kehidupan akhirat, di mana roh akan menunggu hari kebangkitan dan mengalami nikmat atau seksaan bergantung kepada amal semasa hidup.
Jelas Dr. Abdullah lagi, beliau menyatakan bahawa kematian adalah kehidupan dunia sebenar. Di sanalah manusia akan memetik hasil usaha yakni amalnya semasa di dunia. Roh yang mendapat nikmat akan bersenang lenang di alam barzakh dan boleh bertemu pula dengan roh-roh yang lain.
Pengajian seterusnya ditangguhkan pada minggu keempat. Selepas solat Isyak dan bacaan surah Al-Mulk, para jemaah dihidangkan dengan jamuan yang disediakan oleh pihak surau.


